Wednesday, October 12, 2011

Rakyat untung bila oposisi kuat?



Benarkah rakyat akan sentiasa untung jika parti oposisi kuat? Itu antara persoalan yang harus kita fikirkan bersama apabila disuarakan oleh lidah rasmi HamPAS DI SINI

Jika di fikir seimbas lalu ada benarnya dengan kenyataan itu tetapi apabila difikirkan secara mendalam, kekuatan yang ada pada parti oposisi hanya akan merencatkan perencanaan negara dan membantutkan daya urus negara yang baik.

Tidak dapat lari daripada nama 'PEMBANGKANG' parti oposisi secara mutlaknya membangkang sesuatu usaha yang dilakukan oleh parti pemerintah biarpun ianya suatu usaha yang murni untuk kesejahteraan rakyat. Kenyataan 'rakyat untung bila oposisi kuat' itu boleh dikatakan sebagai tepat jika parti oposisi membangkang di dalam kaedah atau cara yang membina dan bukan membinasa. Dengan perkembangan politik Malaysia selepas tsunami politik 2008, jelas dan nyata tiada sebarang 'tindakan membangkang' yang membawa kepada kebaikan daya urus Malaysia. Ianya lebih bersifat merumitkan dan ada kalanya merugikan pihak tertentu.

Bayang sahaja berapakah ruginya ahli-ahli Yang Berhormat apabila elaun yang seharusnya dinaikkan tersekat begitu sahaja apabila pimpinan parti oposisi merasakan yang mereka begitu berkuasa sehingga berhak menentukan perlu atau tidak seseorang itu menerima laba. Jangan kita terlupa pada demonstrasi haram BERSIH 2.0 yang juga disebabkan oleh kuatnya parti oposisi.

Di dalam keadaan menjadi sebuah parti oposisi pun mereka sudah 'mengganggu' banyak perencanaan parti pemerintah yang menggalas amanah rakyat bayangkan sahaja jika kekuatan yang ada pada mereka di tambah dengan menukarkan status mereka kepada parti pemerintah. Apakah mereka akan bersedia untuk mendengar dan menerima pandangan rakyat? Ambil sahaja contoh, orang yang sudah bertahun kebuluran tiba-tiba disogokkan dengan ribuan hidangan? Atau ambil saja contoh seperti beruk mendapat bunga?

Oposisi perlu kuat tetapi kuatnya biarlah membina. Kita perlukan oposisi yang dapat sama-sama membantu parti pemerintah di dalam meningkatkan daya urus negara. Keadaan parti oposisi yang tidak langsung nampak akan kebaikan yang sedang dibina oleh parti pemerintah adalah sebuah parti yang tidak selayaknya dipanggil parti oposisi yang matang. Gariskanlah atau sebutkanlah di mana pernah wujudnya Pakatan berkata ' INILAH KEBAIKAN YANG DIBAWA OLEH KERAJAAN BARISAN NASIONAL'.

Malaysia akan lebih untung jika mempunyai rakyat yang kuat iaitu 'bersatu-padu' dan senada seirama di dalam menyokong segala niat baik parti pemerintah. Tegur Melayu dalam santun dan adab dan itulah formula kepada kejayaan Malaysia selama ini.

Apakah kita masih memerlukan oposisi yang cukup kuat untuk merobohkan formula kejayaan ini?

No comments:

Post a Comment