Sunday, October 9, 2011
Mampukah KPDNKK memantau situasi?
Terima kasih kepada kerajaan di atas sikap prihatin di dalam memahami beban hidup rakyat yang semakin meningkat. Dengan bajet yang baru diumumkan Jumaat lepas rasanya ramai yang boleh menarik nafas lega buat seketika. Soalnya, berapa lamakah kelegaan nafas itu boleh di hela?
Sudah banyak kali terjadi, apabila kerajaan mengumumkan bajet yang bertujuan untuk memberikan kelegaan kepada rakyat, setiap kali itulah kedengaran harga barangan di luar sana akan meningkat. Para peniaga sudah seakan dapat menghidu bahawa saban tahun kerajaan tidak punya banyak pilihan selain daripada memberikan 'bonus' kepada rakyat kerana desakan hidup yang tinggi. Atas nama kepentingan rakyat, atau mungkin jua atas nama kepentingan politik, pilihan terakhir yang ada pada kerajaan adalah memberikan 'bonus' kepada rakyat biarpun sebenarnya 'bonus' itu hanya merupakan durian runtuh kepada para peniaga yang menaikkan harga barang.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mula mengerahkan penguatkuasanya untuk memantau harga barang-barang. Soalnya, berapakah nisbah kedai runcit yang ada dengan bilangan penguatkuasa KPDNKK? Rasanya, KPDNKK harus tampil dengan modus operandi yang lebih kompetitif berbanding penguatkuasaan konvensional yang seakan tidak relevan dengan zaman sekarang. Rakyat hanya mampu tersenyum dengan laungan amaran yang dikeluarkan oleh KPDNKK kepada peniaga yang menaikkan harga barang. Jangan pula Ismail Sabri akan menjadi Menteri Amaran Kedua selepas Hishamuddin.
Sama-sama kita tunggu apakah KPDNKK mampu untuk menangani masalah ini atau ianya sekadar melepaskan batuk di tangga?
Rakyat di luar sana, sudah banyak kali 'terkena' dengan 'badi' bonus yang diberikan kerajaan kerana 'ditelan' mentah-mentah oleh peniaga. Kita tidak mahu tindakan yang sekadar 'melepaskan batuk di tangga' oleh KPDNKK itu hanya akan membuatkan Menterinya 'tergelincir' di tangga yang licin akibat lendir peniaga.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment