Monday, January 9, 2012

Buang nestapa, kembali merencana



Dalam jerih perih dan keluh kesah, tekad kembali membulat. Perjuangan ini tidak boleh terhenti begitu sahaja. Apa jua yang berlaku tentulah ada buruk baiknya. Bertahun menanti, masa 5 minit bagaikan menyentak segala kalbu. Allah jua yang Maha Berkuasa.

Tentunya banyak emosi yang terganggu dan kata-kata kosong hanya berlegar sekitar bibir yang kian mengering. Bumi Malaysia tercinta harus tetap dibela. Kebenaran yang nyata tetap tidak akan terlihat dengan mata yang membuntang kerana selagi hijab menebal, gajah di depan mata juga boleh menjadi sehalus kuman.

Pasrah dan redha adalah sebaik-baik jalan. Ralat,emosi yang tidak terjangka, kelip-kelip mata, kepayahan melelapkan mata suatu kenakalan syaitan yang cuba merencatkan perjuangan. Membina semangat adalah suatu yang memerlukan kesabaran dan redha yang tinggi. Entah apa yang ada disebalik perencanaan hari ini hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Syaitan pasti tergelak besar melihat pada hati yang luruh. Syaitan adalah musuh yang nyata dan yang nyata itulah menjadi ikutan hati pada mereka yang terkongkong dek hijab.

Keyakinan pada keputusan akan menyebelahi diri hanyalah suatu kesilapan kerana melalaikan kepada Qada dan Qadar. Keputusan hari ini adalah suatu permulaan kepada perjalanan yang lebih panjang dan yang panjang itulah akan sentiasa diintai untuk membawa kepada pengakhiran yang lebih cemerlang. Mencari apa yang ada dihujung perjalanan adalah suatu perjuangan.

Ayuh sahabat, kita buang rasa nestapa. Kita hanya merancang hanya Tuhan menentukan. Dalam suka dan tawa, tentunya ada hati yang sedang melara. Lara membuatkan kita berfikir dengan lebih dewasa dan lebih bijak di dalam merencana. Ingat juga di dalam merencana, syaitan ada di mana-mana. Rencana itu haruslah tertumpu kepada soal AGAMA, BANGSA DAN NEGARA.

Kembali menyusun langkah,merapatkan saf, seia sekata. Sebuah perjuangan tidak akan lekang dengan ujian kerana ujian adalah bukti kecintaan.

No comments:

Post a Comment