Tuesday, December 13, 2011

Kahwin dan politik dalam Malaysia



Soal artis berkahwin dan berpisah sudah seakan menjadi suatu trend di dalam Malaysia. Ahli politik juga tidak terkecuali daripada permasalahan yang melibatkan soal gossip dan kahwin, lebih daripada satu.

Jika hendak diperkatakan tentang soal politik Malaysia pada hari ini, rakyat Malaysia seakan sudah memilih untuk ‘berkahwin’ lebih daripada satu.

Sejak sekian lamanya, rakyat Malaysia amat setia kepada parti Perikatan yang kemudian diubah namanya kepada Barisan Nasional tetapi tsunami politik yang berlaku di dalam Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu, rakyat Malaysia seakan sudah mula melakukan kecurangan kepada Barisan Nasional.

Kewujudan orang ketiga yang mahu dikenali sebagai Pakatan Rakyat adalah suatu bentuk penawaran buat  rakyat Malaysia kepada Barisan Nasional yang bolehlah disifatkan sebagai isteri tua.

Lumrahnya, kegoncangan iman seorang suami untuk berlaku curang kepada isteri pertama adalah kerana liuk lentuk orang ketiga yang lidahnya tidak bercabang dan sifat ingin tahu suami tentang kebolehan orang ketiga.
Pakatan Rakyat yang disifatkan sebagai isteri muda dengan pakaian yang sebelum ini tidak langsung pernah dilihat oleh suami pastinya membuatkan si suami tertanya-tanya apakah yang terselindung di sebalik pakaian itu.

Biar sebaik mana pun isteri pertama tetapi dek kerana ‘barang baru’ si suami tercari-cari punca kepada kesalahan isteri pertama.

Biar bilangan  anak sudah sama panjangnya dengan gerabak keretapi yang merupakan hadiah buat si suami oleh isteri pertama tetapi itu bukanlah jaminan kepada isteri pertama untuk terus mendapat kesetiaan daripada suami.

Hukum alam dah fitrah manusia terlalu menghargai sesuatu yang baru. Rengekan dan janji manis isteri kedua tentulah tidak berupaya di tangkis oleh si suami. Lantaran, dalam masa yang singkat dan tiba-tiba si suami melupakan jasa besar yang dilakukan oleh isteri pertama. Segala kebaikan isteri pertama dipandang sebagai tidak bernilai.

Sifatnya pula isteri kedua yang bergetah tentulah tidak membuatkan mata-mata keranjang lelaki di luar sana melepaskan peluang apatah lagi si suami tidak setiap hari bersama kerana jadual penggiliran yang telah dipertanggungjawabkan. Dengan sedikit alasan kesepian isteri muda yang muda bergetah terjerumus pula kepada soal-soal skandal dan perlakuan terlarang. Akad dan nikah tentulah bukan merupakan intipati kepada soal skandal kerana yang penting keinginan nafsu dapat dipenuhi.

Seumpamanyalah kepada soal penggabungan PAS, PKR dan DAP yang kesatuan hati dan matlamat tidaklah jelas digariskan apatah lagi bila memperkatakan tentang soal pendaftaran nama Pakatan Rakyat itu sendiri.
Rakyat yang disifatkan sebagai suami yang bebas memilih lambat launnya pasti akan dapat menghidu perlakuan sumbang si isteri muda. Dan pada masa itulah suami akan mula sedar bahawa isteri pertama adalah sebaik-baik anugerah kepadanya.

Adalah amat malang jika pada masa si suami mencapai kesedaran akan dosanya pada isteri pertama, si isteri tadi tidak lagi menaruh sebarang rasa percaya dan sayang kepada si suami.

Dan harga yang perlu dibayar bukanlah murah kerana ianya melibatkan keruntuhan rumahtangga yang sebelum ini aman damai dan rumahtangga yang runtuh itu adalah MALAYSIA.

Adakah anda mahu menjadi suami yang tersilap percaturan?

1 comment: