Ketika menonton Perlawanan Badminton Persahabatan di antara Pasukan D'Sury dan RTM di Politeknik Merlimau, Melaka, Dato Seri Utama Dr Rais Yatim (DASURY) menyebut kepada penulis bahawa beliau ada menghantar artikelnya ke Utusan Malaysia berhubung pemansuhan tiga Akta oleh DS Najib Razak pada 15 September 2011.
Penjelasan ini penting, kata DASURY, untuk menerangkan pengumuman Perdana Menteri itu, sehari sebelum perayaan Hari Malaysia, adalah rentetan Program Transformasi Kerajaan dan kali ini akan melibatkan perubahan dari sudut perundangan.
Pengumuman DS Najib di Angkasapuri membabitkan pemansuhan semua pemasyhuran undang-undang eksekutif yang menyebabkan Malaysia diprasangkakan sebagai negara yang masih di bawah pemerintahan darurat, pemansuhan ISA atau Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Buang Negeri 1959.
Artikel DASURY disiarkan oleh Utusan Malaysia semalam.
Dalam tulisanya, DASURY menjelaskan undang-undang ini telah sekian lama dipertikai dan diprasangkakan oleh pelbagai golongan hak asasi manusia sejagat lantaran tidak memberi peluang penghakiman yang bertauliah.
DS Najib juga mengumumkan penilaian dan kajian semula terhadap beberapa Akta lain yang didapati tidak lagi selari dengan perkembangan hak-hak asasi manusia. Antara undang-undang dalam kumpulan ini ialah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 27 Akta Polis 1967 (AP).
Tiga pemasyhuran darurat pada 1966, 1969 dan 1977 dimansuhkan bersekali dengan Akta Buang Negeri 1959 dalam sesi Dewan Rakyat yang baru berlangsung. ISA dan Akta Kediaman Terhad 1933 telah diumum untuk dibubar menjelang Mac 2012.
Tempoh sehingga Mac itu diperlukan kerajaan untuk membuat persediaan berkaitan kerja-kerja dan kuat kuasa peralihan. Selepas Mac 2012, Malaysia akan bebas dari perundangan kuasa eksekutif yang mengecualikan peranan penghakiman mahkamah biasa.
Langkah dan dasar berani DS Najib itu lantas menerima reaksi yang amat positif sekalipun pembangkang yang mulanya menyokong baik langkah realistik kerajaan itu tiba-tiba memilih untuk membantah Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 dengan tindakan keluar dewan pada sesi Dewan Rakyat tanggal 29 November 2011 sebaik sahaja Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengusulkan bacaan kali ke-3 untuk kelulusan mutakhir.
Reaksi secara ‘sokong-kemudian-bantah’ itu menampakkan ketidaksungguhan pembangkang menerima realiti keadilan bahawa kerajaan BN bimbingan DS Najib sesungguhnya berjaya membuktikan sifat dan peranan prihatinnya terhadap undang-undang lapuk yang perlu ditiadakan demi mewujudkan keseimbangan antara hak asasi manusia dengan tanggungjawab memelihara ketenteraman awam dan kepentingan majoriti rakyat.
Baca DI SINI dan di DUNIA TIGER untuk berita penuh..
Baca DI SINI dan di DUNIA TIGER untuk berita penuh..
No comments:
Post a Comment