Tuesday, March 2, 2010

Katak oh katak kenapa engkau melompat


Lompat si katak lompat, lompatlah tinggi tinggi..Antara bait dan lirik yang menjadi idola kanak-kanak di era 80an bergema lagi di bumi Malaysia. Bait dan lirik kata yang diolah menjadi teori politik oleh pencari katak di dalam usaha menawan Putrajaya pada tanggal 16 September seakan menjadi badi kepada pencari katak apabila katak yang dipancing tidak memakan umpan sebaliknya katak yang terkurung di dalam baldi melompat keluar.

Apabila berduyun-duyun katak melompat keluar tentunya dan sudah barang pasti ada yang tidak kena dengan tabiee si pencari katak. Barangkali katak yang dipelihara dan selama ini dipopok serta ditimang belai manja sudah agak lapar dan bukanlah suatu perkara yang menghairankan di dalam kelompok katak itu ada yang begitu oportunis. Atau mungkin juga katak sudah bosan apabila ditempatkan di dalam satu baldi yang hanya terdiri dari satu jantina justeru menafikan tuntutan nafsu si katak. Mungkin si pencari katak terlupa akan hakikat bahawa tidak mungkin akan wujud penambahan bilangan katak apabila di letakkan di dalam suatu kelompok jantina yang sama. Benar, ada katak yang di dalam keadaan terdesak menafikan perbezaan jantina sebagai suatu halangan untuk menambah kuantiti katak.

Acapkali kita terdengar katak bersahutan sesama sendiri dan diandaikan oleh orang Melayu bahawa sahutan katak itu adalah memanggil hujan. Begitulah hebatnya Melayu sehingga memahami apa yang disahutkan oleh si katak. Hakikatnya, cuma antara katak faham dan mengerti apa yang disahutkan oleh katak. Mungkin menterjemahkan rasa tidak puas hati, mungkin sekadar bersiul-siul manja mencari si penjaga katak yang baru dengan seribu pengharapan agar hidup si katak akan lebih berharga atau mungkin juga si katak benar-benar sudah insaf lantaran hidup penuh kebosanan di dalam kepompong katak yang hipokrit dan tidak ikhlas.

Bagaimana nasib tuan punya katak apabila katak yang diharapkan sebagai umpan telah menjadi tuba lantaran membuat ikan-ikan di dalam sungai lari bertempiaran. Musnahlah impian si pencari katak untuk menjadi saudagar katak dan membina empayar katak. Yang tinggal hanyalah tahi-tahi si katak yang perlu dibersihkan dengan berhati-hati sekiranya tidak pasti terpalit ke muka sendiri.

Percaturan dan andaian kolot oleh si penjaga katak bahawa katak-kataknya melompat keluar kerana jiran sebelah rumah menawarkan kebahagiaan yang lebih kepada katak-kataknya. Inilah suatu tindakan segera yang harus diambil oleh si penjaga katak sebelum katak-katak ini menceritakan segala keburukan si penjaga katak.

Tunggulah, mungkin ada lagi katak yang akan melompat keluar dan jika benarlah andaian Melayu bahawa sahutan si katak adalah untuk memanggil hujan, pastinya Melayu boleh menggariskan karier si pencari katak sudah menemui jalan penghujung dan buntu.

Inilah salahnya mempolitikkan teori katak.


No comments:

Post a Comment