'Ibu-ibu, bapak-bapak, siapa yang punya anak, bilang aku, aku yang sedang malu sama teman-temanku kerna cuma diriku yang tak laku-laku'
Hampir semua generasi muda dan separa muda tahu dengan lagu nyanyian kumpulan dari seberang itu yang saban hari diputarkan di stesen-stesen radio Malaysia. Tidak boleh tidak, lagu itu pastinya menembusi halwa telinga pendengar muzik tempatan kerana sudah semacam suatu kewajiban kepada stesen radio untuk memutarkan lagu tersebut. Pendek kata, lagu-lagu seumpama ini sudah menjadi seperti belacan penyedap makanan yang pasti dimainkan oleh stesen-stesen radio tanahair. Benar, jika berbalik kepada teori ekonomi, permintaan dan penawaran agak sukar untuk dipisahkan. Mungkin atas alasan adanya permintaan yang tinggi dari para pendengar radio maka lagu ini sering dimainkan. Atau mungkin juga kerana permintaan yang tinggi pastinya menjanjikan pulangan yang lumayan kepada stesen radio dengan penyiaran iklan-iklan komersil yang menjanjikan keuntungan yang membuatkan tuan-tuan punya stesen-stesen radio ini tersenyum kambing mengira laba.
Senyum kambing tuan punya stesen-stesen ini sebenarnya merupakan satu malapetaka hitam kepada para penggiat seni tanahair yang seolah-olah merasakan periuk nasi mereka seperti ditabur pasir apabila lambakan hasil seni pemuzik seberang mendapat tempat di hati stesen-stesen radio. Lantaran daripada lambakan ini, pasaran hasil karya pemuzik tanahair semakin disempitkan di dalam pasaran yang sememangnya telah sempit. Biarpun pelbagai gesaan dibuat oleh penggiat seni tanahair tetapi suara dan rintihan mereka seolah mencurah air ke daun keladi kerana stesen-stesen radio terus memutarkan lagu-lagu dari negara lain dan tidak cukup di corong-corong radio,pelbagai konsert yang melibatkan artis luar negara terus dianjurkan. Tidakkah ini jelas melembabkan dunia dan industri tanahair yang saban hari semakin kelam dan seperti hidup segan mati tak mahu.
Menyedari akan perlunya dibantu penggiat seni tanahair, kerajaan melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan di bawah pentadbiran menterinya, Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim yang begitu menitikberatkan perkembangan dunia seni Melayu telah mengambil pendekatan tegas untuk membela nasib penggiat dan seni Melayu. Suatu arahan yang jelas telah dikeluarkan kepada stesen-stesen radio untuk mengutamakan lagu-lagu Melayu sebagai 'menu' utama di dalam program mereka atau dengan lebih tegas lagi arahan ini merupakan suatu kewajipan yang tidak boleh tidak dilaksanakan atau lesen mereka tidak akan diperbaharui. Inilah keperihatinan Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim di dalam membela nasib penggiat seni tanahair. Seperti membaling seketul batu untuk dua ekor burung, arahan dan kewajipan yang digariskan ini pastinya dapat membela selain dari nasib penggiat seni tanahair malah kebudayaan lagu-lagu Melayu terus dapat kembang mekar di persada muzik tanahair. Apa lagi yang Melayu ada selain dari budaya yang ditinggalkan datuk nenek kepada generasi muda.
Adalah perlu peminat-peminat muzik tanahair mendalami budaya Melayu kerana lagu-lagu yang dicipta oleh penggiat seni tanahair adalah mengikut acuan dan selera Melayu yang sebenar. Tidak ada salahnya untuk kita mengikuti perkembangan muzik luar negara tetapi keutamaan haruslah diberikan kepada muzik tempatan yang berlandaskan budaya dan adat resam Melayu. Inilah sebenarnya yang diharapkan oleh Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim dan amat jelas matlamat beliau adalah untuk mengelakkan hasil karya penggiat seni tanahair dari berkubur. Jika dilihat secara teliti, lagu-lagu dari luar ini diadun mengikut budaya mereka dan sama sekali tidak berlandaskan budaya Melayu dan amat dikhuatiri oleh Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim lagu-lagu dari luar ini akan menjadi kepada pemangkin kepada terhapusnya budaya Melayu dan sama ada kita sedar atau tidak lagu-lagu dari luar ini akan menyumbang kepada masalah sosial di kalangan generasi muda.
Sama-sama kita tunggu adakah arahan ini akan diterima pakai oleh stesen-stesen radio atau mereka lebih mengutamakan keuntungan daripada memikir dan menitikberatkan lagu-lagu Melayu. Menolak lagu-lagu Melayu bererti menolak budaya Melayu dan jika keuntungan lebih utama dari kepentingan budaya Melayu adalah jelas menampakkan ketidakcintaan terhadap Malaysia yang tuannya adalah Melayu.
No comments:
Post a Comment