Saban hari bilangan NGO yang tumbuh di Malaysia semakin bertambah ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Benar, ada baiknya NGO-NGO ini kerana rakyat mempunyai banyak pilihan yang boleh digunapakai tetapi disebalik bilangan yang melumpah ruah itu ianya mempunyai kesan yang kurang baik kepada rakyat.
Kalau dahulunya NGO bergerak dengan berlandaskan kepada objektif dan matlamat tertentu yang pastinya tidak berbau politik tetapi dewasa ini bilangan NGO yang semakin meningkat seakan sudah lari asas perjuangannya dan lebih tertarik untuk menerjunkan diri ke kancah politik yang sudah cukup merabakkan minda rakyat Malaysia.
Seakan sudah tidak ada ikhlas di dalam perjuangan NGO kerana sudah mula kelihatan wujudnya kepentingan kepada pemimpin-pemimpin NGO. Bukanlah sesuatu yang memeranjatkan jika ada mana-mana pimpinan NGO yang sekadar menggunakan platform NGO untuk 'menjual' diri merealisasikan impian untuk menjadi wakil rakyat.
Dengan nama besar yang sudah mereka 'jualkan' tentulah parti-parti politik melihat kalangan mereka ini sebagai nama yang boleh diketengahkan sebagai pimpinan parti yang memboleh memenangkan parti mereka. Sudahnya, ahli-ahli NGO itu sekadar menjadi 'anak ayam' yang tidak bertuan.
Keadaan ini jika tidak dikawal akan menjadi punca kepada perpecahan bangsa terutamanya bangsa Melayu kerana orang-orang Melayulah yang paling 'gemar' untuk berpersatuan.
Tidak ada salahnya untuk berpersatuan atau menyertai NGO tetapi perlulah menjadi NGO yang benar-benar ikhlas di dalam perjuangan. Harus kembali kepada matlamat asal penubuhan dan tidak terikut-ikut kepada rentak permainan politik yang matlamat akhirnya adalah untuk menjadi pemimpin.
Jika semua pihak mahu menjadi pemimpin siapa pula mahu menjadi rakyat. Maka akan lahirlah ramai pemimpin yang nilainya tidak lebih daripada kaca di tepi jalan. Jadilah pemimpin yang sifat dan nilainya seperti emas di mana di dalam lombong yang manusia akan terokai dan cari.
No comments:
Post a Comment