Wednesday, December 7, 2011

Apa perlu kepada politik kepartian untuk bertaubat?



Seseorang yang ingin bertaubat setelah menyedari banyak melakukan dosa pada masa lampau tentunya mempunyai keikhlasan untuk berbuat demikian.

Keikhlasan seperti maksud di dalam perkataan itu tentulah tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak dan rasa ikhlas itu terbitnya dari hati yang digerakkan oleh Allah.

Naluri dan fitrah manusia memang tidak dapat disangkal bahawa apabila manusia terbelenggu dengan masalah yang tidak terungkai dan gelora rasa yang tidak tenteram akan segera mencari penciptanya.

Terbaru ramai bondongan artis yang mendapat gerak dari Allah untuk mengakui yang mereka telah terlalu bergelumang dengan dunia yang penuh hipokrit. Itu antara dakwaan yang dilontarkan oleh sesetengah artis apabila mereka secara tiba-tiba berubah rupa dan penampilan. Allhamdulillah, semuanya dengan izin Allah jua. Tidaklah kita mahu persoalkan jika perubahan itu ke arah kebaikan semata-mata yang dilandaskan pada keikhlasan berubah.

Penghidupan yang penghujungnya menanti maut yang membawa ke alam barzakh tidak pula mempersoalkan penglibatan politik  kepartian semasa hayat di dunia. Umum tidak dapat menyangkal bahawa politik dan keinginan untuk melibatkan diri dalam politik tidak dapat disandarkan pada perjuangan semata-mata sebaliknya penglibatan diri dalam politik kepartian sudah sebati dikaitkan dengan keinginan duniawi, wang ringgit dan kebendaan.

Berbalik kepada soal bertaubat atau menyesali dosa yang lepas, apalah perlu merujuk kepada mana-mana parti politik untuk mendapat keampunan. Hidup, mati, seksa kubur dan titian yang bakal dilalui juga masih belum dapat memastikan untung rugi mereka. Tidak ada jalan pintas di dalam mencari keredhaan dan keampunan Allah.

Apabila ada di antara kita yang menampakkan keinginan untuk bertaubat secara tiba-tiba menyertai parti Islam dengan alasan parti itu seolah menjamin kemasukkan ke syurga amatlah kita ragui.  Seperti yang diperkatakan tadi, tidak ada jalan pintas di dalam mencari kecintaan Allah dan kecintaan zuhud tidaklah seharusnya disandarkan kepada parti politik yang mesti menjurus kepada kepentingan dunia. Keikhlasan untuk bertaubat hanya sepatutnya dibulatkan kepada keampunan Allah dan apa perlunya kita sekadar ‘kelihatan’ seperti seorang Islam jika niat untuk bertaubat itu disandarkan kepada mereka yang belum tentu alim dan waraknya.

Tentu ada yang berkata, memisahkan politik dan agama adalah pendekatan gereja untuk menerobos masuk ke dalam Islam tetapi barang harus diingat politik oleh parti Islam sekarang terlalu amat berbeza dengan zaman para ambiya terdahulu.

Dewasa ini, lihat sahaja kepada tuturkata dan bait-bait kata yang terpacul keluar daripada mulut orang-orang politik yang dakwa mereka berteraskan agama, tidak sunyi dari sumpah seranah dan perkataan-perkataan yang tidak terdidik oleh agama.

Sesungguhnya, UMNO, PAS, PKR apatah lagi DAP tidaklah dapat membawa rasa taubat itu kepada maksud yang sebenarnya. Rasa taubat itu haruslah diserahkan bulat-bulat kepada pencipta dengan teguh memegang kepada panji syariat sebelum diilhamkan pula untuk mengenal Pencipta.

Mudah-mudahan taubat itu tetap terpelihara daripada sebarang hasutan dan hasutan boleh datangnya dari manusia mahupun SYAITAN.

No comments:

Post a Comment