Friday, June 24, 2011

Negara Berkebajikan: Antara realiti dan angan-angan

Tindakan PAS mengangkat agenda membangun negara berkebajikan memperlihatkan parti itu bukan sahaja hilang arah dalam mengerakkan agenda membangunkan negara Islamnya, tetapi juga terpaksa menurut kehendak rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) untuk menjadi juara rakyat.


Membangun negara kebajikan tafsiran PAS ini lanjutan daripada dasar Buku Jingga yang dilancarkan PR sebelum ini – menjanjikan banyak manfaat kepada rakyat jika mereka berjaya mengambil alih kuasa dari kerajaan Barisan Nasional.


Sama ada Buku Jingga atau membangun negara kebajikan, ia bukan satu perkara baru. Sejak merdeka sehingga ke hari ini, dasar membangunkan negara berkebajikan sudah dilaksanakan kerajaan. Cuma kali ini ia diangkat dalam bentuk sedemikian rupa oleh PAS bagi menunjukkan seolah-olah apa yang dilakukan kerajaan selama ini tidak memberi atau membawa apa-apa makna kepada rakyat.


Untuk membangun negara berkebajikan seperti mana impian PAS bukan mudah. Malah tidak mungkin dilaksanakan oleh mana-mana negara di dunia sekali pun kerana beban yang akan ditanggung negara bukan sedikit. Memberi terlalu banyak penekanan kepada kebajikan boleh menjerat negara seperti yang berlaku di beberapa buah negara Eropah yang kini dilanda inflasi dan beban hutang sehingga boleh terjerumus ke arah kemuflisan.


Apakah usaha yang dilakukan kerajaan hari ini tidak cukup untuk membela dan membantu rakyat? Sebagai sebuah negara yang banyak bergantung kepada import barangan makanan seperti gula, tepung gandum, beras, minyak masak dan lain-lain, kerajaan sudah melakukan yang terbaik untuk kepentingan rakyat dan pengguna.


Apakah dengan memberikan subsidi yang besar kepada barangan keperluan utama masih tidak menepati tafsiran membangunkan negara kebajikan seperti diinginkan PAS? Malah jika dibuat perbandingan atas tanggungan subsidi kerajaan, rakyat negara ini masih dikira beruntung kerana harga barangan keperluan utama di pasaran jauh lebih murah berbanding negara-negara tetangga.


Untuk 2010 sahaja, kerajaan memperuntukkan RM10.32 bilion sebagai subsidi barangan keperluan asas. Jumlah ini dijangka mencecah RM20.6 bilion pada 2011.


Subsidi RM10.32 bilion tersebut termasuk subsidi RM789 juta untuk gula, RM 89 juta untuk tepung gandum, RM813 juta untuk minyak masak, RM486 juta untuk beras, RM3.13 bilion untuk petrol (RON 95), RM3.5 bilion untuk diesel, RM1.43 bilion untuk LPG.


Ini bermakna, kerajaan menanggung kos 30 sen bagi setiap kilogram gula, 45 sen setiap kilogram tepung gandum, RM1 bagi setiap kilogram minyak masak, RM4 setiap kampit beras berat 6 kilo, 43 sen setiap liter petrol RON 95, RM27.02 sen bagi setong LPG.


Walaupun kerajaan menyedari subsidi dan peruntukan berbilion ringgit semata-mata untuk memastikan kestabilan harga barangan keperluan utama dan mengelakkan pembantutan pertumbuhan ekonomi dalam tempoh jangka panjang, langkah itu terpaksa diteruskan bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan pada masa sama terpaksa menggunakan pendekatan subsidi secara lebih berhemah.


Menjanjikan sesuatu memang mudah tetapi realitinya cukup sukar untuk dilaksanakan, lebih-lebih lagi ketika Malaysia berusaha untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi dalam tempoh tidak sampai 10 tahun. Tidak dapat dielakkan bagi merealisasikan matlamat itu , sudah tentu ia memerlukan kadar pertumbuhan ekonomi yang dinamik. Pemberian subsidi secara berlebihan semata-mata untuk menjadi popular hanya akan mendatangkan mudarat kepada negara dan rakyat secara jangka panjang.


Apabila kerajaan mengatur rancangan menstrukturkan semula subsidi pada masa akan datang, banyak pihak yang mendakwa langkah tersebut hanya akan membebankan rakyat. Walaupun akan berlaku kenaikan kepada barang-barang keperluan asas ini, kerajaan sudah memberikan jaminan, kepentingan dan kebajikan rakyat tetap terbela, terutama golongan berpendapatan rendah. Lebih penting, penstrukturan semula subsidi ini bertujuan memastikan hanya mereka yang benar-benar layak mendapat manfaatnya.


Memberi terlalu banyak juga tidak baik untuk negara dan rakyat. Apabila segalanya diberikan percuma dan disokong subsidi, rakyat akan jadi malas. Malah sikap ini bertentangan dengan ajaran Islam yang sememangnya menggalakkan kita berusaha untuk mengubah kehidupan kepada yang lebih baik tanpa terlalu bergantung kepada orang lain.


Satu lagi adalah mengenai sikap. Banyak subsidi yang diberikan kerajaan sering disalahgunakan sama ada dijual atau diseludupi ke luar. Ia akhirnya merugikan duit rakyat apabila subsidi berbilion ringgit jatuh kepada tangan mereka yang tidak sepatutnya menerima.


Apa yang ingin dilakukan oleh PAS atau pun melalui pelaksanaan dasar Buku Jingga mereka, atas kertas ia nampak cantik dan memang ia boleh membuatkan rakyat terpedaya, tetapi hakikatnya pelaksanaan bukan semudah apa yang diucap.


-malaysiaaktif.my-

No comments:

Post a Comment