Monday, April 25, 2011

Tiada yang baru yang Zaini Hasan cuitkan


1 Melayu 1 Bumi yang disarankan secara peribadi oleh Datuk Zaini Hasan di dalam ruangan cuit Utusan Malaysia bukanlah sesuatu yang baru didendangkan.

Sebenarnya, orang-orang Melayu marhaen yang tidak kemaruk politik lebih dahagakan penyatuan kaumnya berbanding dengan kegilaan orang-orang politik Melayu yang tidak langsung memikirkan untung nasib kaumnya..Yang penting dan sentiasa memberontak dalam kepala dan benak mereka hanyalah mengejar kuasa yang pastinya boleh menjamin kekukuhan ekonomi.

Mungkin orang politik Melayu jarang berjalan di warung-warung kerana terlalu selesa melepak di hotel-hotel mewah biarpun sekadar menikmati secawan teh. Pergi saja ke Pandan Indah sebagai satu contoh, lihat sahaja bagaimana utuhnya perpaduan di kalangan peniaga Cina di sana. Berniaga di bawah satu bumbung yang sama dan tidak wujud soal dengki dan khianat sesama mereka. Kedai tayar dan workshop kereta di Pandan Indah juga didominasi oleh peniaga-peniaga Cina dan akibat dari penyatuan inilah maka banyak industri perniagaan dimonopoli oleh kaum Cina.

Orang Melayu dalam soal menjadi imam masjid pun kadang kala boleh membawa kepada soal bermasam muka. Apatah lagi dalam soal mengejar kegilaan kuasa politik. Baik di dalam UMNO mahupun PAS. Yang kalah di dalam pertandingan merebut kerusi setiap kali adanya pemilihan akan membawa rajuk yang panjang yang kemudiannya disalurkan dengan rasa dendam yang membara. Sebab itulah di dalam beberapa siri Pilihanraya Kecil istilah cah keting selalu kedengaran.

PAS sudah terlalu jauh melupakan soal penyatuan orang-orang Melayu. Jika tidak sudah lama idea untuk mewujudkan kerajaan perpaduan diterima pakai oleh PAS. PAS lebih suka dan cenderung menawarkan syurga kepada pengikut-pengikutnya. Waimah jika ada pengundi Cina yang mengundi PAS pun akan dijanjikan syurga firdaus. Atas kelemahan dan kepercayaan cetek PAS itulah maka DAP sebijak kancil memperkudakan PAS untuk memancing undi orang-orang Melayu sekaligus memecahkan Melayu kepada puak-puak.

Sebenarnya apa yang ditulis oleh Datuk Zaini itu adalah kerana jiwanya yang cintakan dan sayangkan Melayu tercampur pula dengan emosi marah yang terkecewa kerana melihat bangsanya semakin diinjak-injak. Ada benar dengan apa yang Datuk Zaini nukilkan malah sebenarnya ramai orang Melayu yang bebas dari kegilaan mengejar kuasa politik bersetuju dengan apa yang Datuk Zaini nukilkan. Sesuai benar Datuk Zaini berkhidmat di Utusan Malaysia dan atas sebab itulah tidak ada salah dengan apa yang beliau nukilkan. Rasanya, jika Datuk Zaini berkhidmat dengan suratkhabar bukan Melayu pun tulisannya pasti akan menjurus kepada soal penyatuan Melayu kerana orang Melayu kaya dengan jiwa, kaya dengan keresahan dan juga kaya kepada soal terlupa. Orang yang terlupa harus dicuit dan cuit Datuk Zaini itu mungkin sahaja akan membuatkan ada orang yang melatah.

Pandangan Tun Mahathir berhubung apa yang Datuk Zaini nukilkan adalah pandangan seorang bekas pemimpin yang pastinya melihat sesuatu secara menyeluruh. Dan sebagai pemimpin yang banyak dan besar jasanya mungkin beliau merasakan perkara itu tidak perlu dinukilkan secara terbuka.

Ibarat menarik rambut di dalam tepung, biarlah semuanya dalam keadaan baik-baik sahaja. Cuma orang-orang Melayu sudah seharusnya boleh menghidu atau terbau ada benda yang sedang membakar di dalam sekam dan mujurlah ada Melayu seperti Datuk Zaini Hasan yang cuba menyedarkan orang Melayu biarpun sekadar cuit-cuit manja.

1 comment:

  1. salam tuan..mohon minta link kan blog sy di blog tuan...sy telah link kan blog tuan di blog sy..
    sama2 lah kita berjuang..

    TQ

    http://malaydelima.blogspot.com/

    ReplyDelete