Sudah hampir seminggu pilihanraya kecil Manek Urai melabuhkan tirainya. Pelbagai kenangan yang ditinggalkan di Manek Urai. Ada duka dan ada ketika suka mencuit hati. Bagaimana agaknya dengan poster poster dan bendera parti parti yang bertanding? Sudahkah diturunkan? Harapnya biarlah Manek Urai bersih pandangannya seperti sediakala. Aku agak rindukan ketenangan yang ada di Manek Urai. Tenang fikiran dan jiwa.
Apa khabar adik adik di Manek Urai? Puas agaknya dapat merasai kemeriahan yang ada di Manek Urai sempena pilihanraya kecil tempoh hari. Mungkin sekarang agaknya terasa agak sepi tanpa keriuhan yang terjelma semasa kempen tempoh hari. Tak mengapalah kehidupan harus diteruskan. Ingatlah di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.
Tahniah kepada penduduk penduduk Manek Urai kerana telah menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi. Biarpun undi nampaknya seimbang tetapi apa yang jelas kemenangan berpihak kepada Melayu. Dengan undi yang hampir sama banyaknya jelas menunjukkan penduduk Manek Urai cinta dan terlalu rindukan perpaduan Melayu. Dengan undi yang hampir sama banyaknya itu juga menunjukkan bahawa kedua dua calon yang bertanding tempoh hari hendaklah sama sama berganding bahu berbakti kepada penduduk Manek Urai. Tiada yang menang dan tiada yang kalah kerana pemenangnya amat jelas iaitu penduduk Manek Urai.
Ayuh kita terus membela Manek Urai seperti mana yang kita canangkan semasa kempen tempoh hari. Jangan kita buangkan harapan yang telah kita taburkan kepada penduduk Manek Urai. Teruslah berbakti demi kepentingan anak anak Manek Urai. Jangan hanya pandai menanam tebu di bibir.
No comments:
Post a Comment