Tuesday, March 9, 2010

Perangai kucing

Kucing ni ada macam-macam perangai. Ada kucing yang jinak dan ada kucing yang liar. Kucing-kucing yang tak bertuan ni biasanya kucing-kucing yang nakal. Tetapi ada jugak kucing yang bertuan tapi nakal dan tak mau dengar cakap tuan.

Ada kucing yang agak nakal apabila tuannya sendiri mahu digigit. Mungkin kerana kucing itu terlupa yang tuannya adalah tuan rumah dan dia hidup di dalam rumah itu pun sekadar ehsan tuan rumahnya.Ada ke patut dibuatnya lubang di rumah tuannya untuk membolehkan tikus masuk. Kalau beginilah sifat kucing itu, manakan tau mungkin akan dihumban keluar rumah oleh tuannya dan akan diambil bela tuannya kucing yang baru bagi menggantikan kucing yang tak mengenang budi tadi. Kucing liar namanya tu.

Ada pula kucing yang dipertanggungjawabkan oleh tuannya untuk menjaga rumah apabila tuannya keluar. Tetapi lain pulak yang jadinya apabila kucing tidak bertindak bila nampak tikus-tikus menyelongkar rumah. Selain dari cuma melihat tindakan tikus-tikus itu, kucing tersebut sekadar mengiau untuk menakutkan tikus-tikus itu. Melihat kepada tindakan kucing itu, apalah sangat yang perlu ditakutkan oleh tikus-tikus itu dan ini membuatkan tikus-tikus semakin mengganas. Kenapa kucing itu sekadar mengiau?Adakah mengiau itu tanda memberikan amaran kepada tikus? Kucing penakut namanya tu.

Ada pula kucing yang suka menarik perhatian tuannya. Tuannya belum suruh buat apa-apa dia terlebih dulu membuat tindakan biarpun tindakan itu mungkin merugikan tuannya. Dia lebih dulu mengiau dan langsung tidak meminta keizinan tuannya untuk bertindak. Dahulupun rumah tuannya bergegar dilanda tsunami kerana pasal tertumpahnya minyak ke atas lantai, kali ini minyak jugak yang dimainnya semata-mata kerana ingin menarik perhatian tuan rumahnya. Kucing gila glamor namanya tu.

Ada jugak kucing yang tak sangka akan dibela oleh tuannya. Mungkin kerana rezekinya untuk duduk dirumah maka diambil bela oleh tuannya. Atau mungkin tuannya biasa nampak kucing tu di pasar dan berkenan dengan perangai kucing tu maka diambilnya untuk dibela. Kucing bernasib baik namanya tu.

Ada kucing yang telah dibuang oleh tuannya tetapi kucing ni selalu bernasib baik apabila ada tuan baru yang ambil untuk membelanya. Mungkin tuannya yang baru merasakan kalau tidak diambil untuk dibela mungkin kucing ini akan masuk ke dunia tikus dan membuat kerosakkan kepada rumahnya. Dan kerana telah pernah ada dua tuan, kucing ini dipertanggungjawabkan oleh tuannya untuk menjaga prestasi kucing-kucing lain. Kucing ‘the return’ namanya tu.

Ada pulak tuan rumah yang suka ambil kucing dari kalangan kawan karibnya. Mungkin kerana mengenang jasa baik kawannya itu maka diambilnya kucing itu untuk duduk dirumahnya. Biarpun kucing itu pernah digelakkan oleh kucing-kucing lain semasa perhimpunan kucing-kucing tetapi atas dasar setiakawan kucing itu diambil untuk dibela oleh tuan rumahnya. Kucing menebus malu namanya tu.

Ada kucing yang suka bersenam dan menjaga anak-anak kucing. Dulunya kucing ni duduk dirumah lain tetapi kerana kucing ni pernah mencakar boss tikus maka kucing ini diambil oleh tuannya yang baru untuk menghalau tikus-tikus. Mungkin kerana kekok dengan perangai tuannya yang baru dan terkenangkan tuannya yang lama, kucing ni sudah tidak seagresif dulu. Kucing dalam dilema namanya tu.

Kucing bermata kuyu sukar untuk dibela kerana kucing bermata kuyu ni suka bercakaran sesama sendiri. Dia tidak pedulikan kucing-kucing lain termasuk tuannya kerana dia lebih suka untuk bercakar sesama sendiri. Kadang-kadang susah untuk meneka perangai kucing-kucing bermata kuyu ni kerana cuma sesama mereka yang faham cakaran itu akan mengakibatkan luka ataupun tidak. Kucing penuh muslihat namanya tu.

Itu semua perangai kucing jantan. Jarang orang nak membela kucing betina kerana kucing betina ni katanya suka beranak. Bila beranak pastinya akan menyukarkan tuan rumah. maka cuma kucing betina yang bijak menguruskan segala kepayahan yang ada di rumah akibat bila beranak. Segala kepayahan haruslah diserahkan kepada kucing betina untuk diselesaikan kerana cuma dia yang tahu perangai dan ragam kucing betina. Kucing betina yang handal namanya tu.

Kau orang tengok betapa payahnya membela kucing, macam-macam perangai. Untuk jalan mudah elok dibela banyak-banyak kucing yang duduk diam tidak mengiau.Dan kucing jenis diam nilah yang banyak dibela oleh tuan rumah sekarang. Entah-entah kucing tu dah tak bertaring.

Kalau ada sesiapa yang mahir pasal kucing silalah ceritakan lagi. Apapun kucing-kucing ini adalah yang terbaik untuk dibela. Kucing tetap dengan perangai kucing dan tidak lupa asal usul kucing. Mudah-mudahan kucing akan segarang harimau untuk menjaga tuannya dan menjadi sebaik kucing di rumah datuk tuannya.

No comments:

Post a Comment