Sunday, March 22, 2009

Kalau berkempen janganlah poyo - suatu peringatan


Penulis sebenarnya agak kagum dengan jentera-jentera pilihanraya yang sudah mengorak langkah berkempen untuk memenangi hati para pengundi. Memang itupun yang sewajarnya yang dilakukan. Namanya pun jentera kalau tak bergerak bukanlah jentera tapi kayu mati.

Dalam pada kagum dengan langkahan kaki para jentera berkempen, suka juga penulis nak memberi pandangan dan tidak keterlaluan kalau dikatakan suatu peringatan. Bukan untuk menunjuk pandai sekadar nasihat kalau kalau boleh diguna pakai.

Pada para jentera yang berkempen, penulis nak berpesan tak perlulah menunjuk-nunjuk segala kemewahan yang ada apabila mendekati pengundi. Bukannya apa, perlu juga kita sedar para pengundi ini bukannya semua orang berada. Ada yang berkereta mewah dan tidak kurang juga rumahnya hampir roboh. Bijak bijaklah mengatur langkah. ‘Masuk kandang kambing kita mengembek, masuk kandang harimau sama sama kita mengaum’.

Semalam penulis nampak ada jentera yang masuk ke kampung untuk berjumpa dengan pengundi kawasan tersebut dengan menaiki kereta yang cukup canggih. Toyota Harrier, Rexton Sangyong, Toyota Wish dan segala jenis kereta yang cukup mewah. Tidak dinafikan memanglah mereka mampu dan rezeki jentera kempen untuk memiliki itu semua tetapi perlu kita sama sama ambil kira sensitiviti para pengundi. Cuba bayangkan apa perasaan para pengundi yang hidupnya serba kedaifan. Mungkin ada yang berasa kecil hati dan tak kurang juga yang akan marah dan memberontak jiwanya. Akibatnya, rasa marah itu diterjemahkan dalam masa membuang undi. Alangkah ruginya kerja keras para jentera tidak membuahkan hasil hanya kerana kesilapan yang tidak pernah kita fikirkan.

Janganlah kerana lagak yang tidak bertempat, pengorbanan masa dan tenaga jentera kempen hanya menjadi sia sia. Pakaian para jentera kempen juga seolah olah merupakan suatu trend kepada parti tertentu. Berbaju linen yang harganya tak kurang dari dua ratus ringgit sehelai. Penulis pun ada baju seperti itu yang cuma dipakai pada hari raya. Itupun setelah puas mengumpul duit. Tak mengapalah, penulis sekadar memberi pandangan untuk kebaikan semua.

Teruskanlah usaha murni untuk memastikan kemenangan di dalam pilihanraya kecil ini. Insyaallah. Bersatu, Bersetia, Berkhidmat.

No comments:

Post a Comment