Di dalam mengejar cita-cita kita perlukan usaha. Mana ada yang bulat datang bergolek dan yang pipih terbang melayang di dalam mengejar cita-cita. Perlu ada usaha. Biarpun usaha di dalam mengejar cita-cita itu memakan usaha yang lama tetapi atas keinginan yang terkadang tidak terbendung, kita lupa akan matlamat asal kita, kita lupa asas perjuangan kita dan yang agak bercelaru kita lupa yang mana teman yang mana lawan.
Benar, cita-cita akan membuatkan kita terus berusaha. Tetapi apakah cita-cita membuatkan kita lupa matlamat asal kita?. Apakah harus di dalam mengejar cita-cita harus kita korbankan sejarah lalu yang telah kita garap bersama demi sebuah kehidupan yang sempurna dan haruskah kita buang pengorbanan yang telah kita kerahkan bersama teman teman seperjuangan?
Mampukah kita buang jauh-jauh segala cita-cita kita demi kesejahteraan bersama dan mendamaikan hati teman-teman?Rasanya perjuangan mengejar cita-cita peribadi tidaklah sebesar perjuangan memberikan kedamaian kepada teman-teman yang telah kita perjuangkan berkurun lamanya.
Banyak mata yang memandang dengan penuh iri hati semangat keakraban dan asas perjuangan kita. Jangan hanya kerana setitik madu manis di mulut mereka, kita tergesa-gesa mengambil sikap melupakan kawan-kawan lama. Yang menangis dan ketawa bersama-sama. Yang dicubit peha kiri peha kanan turus terasa sakitnya. Adilkah kita pada teman-teman?
Di dalam kepompong yang agak kecil, ada di antara kita yang tinggi duduknya dan ada yang terkebawah di dalam kepompong itu. Pun begitu, bukanlah kita mewujudkan kasta cuma rezeki kita agak berbeza-beza. Teman-teman tetap sayang apatah lagi kita banyak berjasa cuma usia yang meningkat membuatkan hati kita semakin rapuh dan merasakan tiada lagi sayang teman-teman pada kita. Ketahuilah semua itu cuma khayalan dan mainan hati yang kesunyian. Musim berubah dan zaman juga berubah namun kecintaan tidak pernah berubah. Berbaik sangkalah pada teman-teman. Kita akan pasti duduk semeja dan berbual seperti biasa. Tetap akan ada hormat yang tinggi dan tetap kasih bagai seorang anak pada seorang ayah. Biarpun zaman telah berubah tetapi asas perjuangan tetap sama dan rasa kecintaan tetap sama. Tidak seperti 'sekali air bah sekali pantai berubah'.
Jangan kerana cita-cita yang tampak semakin jauh, kesunyian kerana usia yang meningkat, hati yang rapuh dek kesunyian dan gading yang tidak tercapai, dihulurkan tanduk maka tanduk itu sama tarafnya dengan gading? Teman-teman pasti bersama di dalam setiap ketika demi sebuah keharmonian negara tercinta, MALAYSIA.
No comments:
Post a Comment