Showing posts with label Ismail Sabri. Show all posts
Showing posts with label Ismail Sabri. Show all posts

Thursday, March 8, 2012

Kenaikan gaji: Durian runtuh siapa?



Semua kakitangan awam perlu menzahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri yang mengumumkan pelarasan gaji kepada kakitangan awam semalam.

Harapan besar adalah peningkatan ketara mutu kerja kakitangan awam yang sebelum ini dilihat amat negatif oleh orang ramai di luar sana.

Cuma yang meresahkan dan yang sudah hampir pasti dapat dilihat ialah pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri semalam akan 'merayakan' para peniaga yang pastinya akan menaikkan harga barang. Itu perkara lumrah setiap kali kerajaan mengumumkan kenaikan pendapatan yang melibatkan kuasa beli rakyat.

Pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri semalam seharusnya disambut sebagai satu tanggungjawab kepada Menteri, Ismail Sabri untuk memastikan harga barang tidak dinaikkan sesuka hati oleh para peniaga yang pastinya akan 'membaham' semua kenaikan itu.

Amaran semata-mata tidaklah dapat menjamin harga barang tidak akan naik tetapi lebih daripada itu seharusnya Ismail Sabri memikirkan mekanisma yang lebih baik bagi menangani kebarangkalian kenaikan harga barang.

Naikkanlah 10 kali gaji sekalipun tetapi jika kuasa beli pengguna 'dibaham' sewenangnya oleh para peniaga apalah ertinya dengan kenaikan.

Sebolehnya,kita tidak mahu kenaikan yang disifatkan sebagai durian runtuh itu akan memberikan isi durian kepada para peniaga dan kulit durian itu hanyalah duri yang akan menyakitkan kerajaan yang dilemparkan semula oleh kakitangan awam di dalam PRU ke 13 nanti.

Sunday, October 9, 2011

Mampukah KPDNKK memantau situasi?



Terima kasih kepada kerajaan di atas sikap prihatin di dalam memahami beban hidup rakyat yang semakin meningkat. Dengan bajet yang baru diumumkan Jumaat lepas rasanya ramai yang boleh menarik nafas lega buat seketika. Soalnya, berapa lamakah kelegaan nafas itu boleh di hela?

Sudah banyak kali terjadi, apabila kerajaan mengumumkan bajet yang bertujuan untuk memberikan kelegaan kepada rakyat, setiap kali itulah kedengaran harga barangan di luar sana akan meningkat. Para peniaga sudah seakan dapat menghidu bahawa saban tahun kerajaan tidak punya banyak pilihan selain daripada memberikan 'bonus' kepada rakyat kerana desakan hidup yang tinggi. Atas nama kepentingan rakyat, atau mungkin jua atas nama kepentingan politik, pilihan terakhir yang ada pada kerajaan adalah memberikan 'bonus' kepada rakyat biarpun sebenarnya 'bonus' itu hanya merupakan durian runtuh kepada para peniaga yang menaikkan harga barang.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mula mengerahkan penguatkuasanya untuk memantau harga barang-barang. Soalnya, berapakah nisbah kedai runcit yang ada dengan bilangan penguatkuasa KPDNKK? Rasanya, KPDNKK harus tampil dengan modus operandi yang lebih kompetitif berbanding penguatkuasaan konvensional yang seakan tidak relevan dengan zaman sekarang. Rakyat hanya mampu tersenyum dengan laungan amaran yang dikeluarkan oleh KPDNKK kepada peniaga yang menaikkan harga barang. Jangan pula Ismail Sabri akan menjadi Menteri Amaran Kedua selepas Hishamuddin.

Sama-sama kita tunggu apakah KPDNKK mampu untuk menangani masalah ini atau ianya sekadar melepaskan batuk di tangga?

Rakyat di luar sana, sudah banyak kali 'terkena' dengan 'badi' bonus yang diberikan kerajaan kerana 'ditelan' mentah-mentah oleh peniaga. Kita tidak mahu tindakan yang sekadar 'melepaskan batuk di tangga'  oleh KPDNKK itu hanya akan membuatkan Menterinya 'tergelincir' di tangga yang licin akibat lendir peniaga.

Wednesday, May 25, 2011

Menteri berkenaan tolonglah lebih bijak






Terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana tidak menaikkan harga petrol RON 95.


Biarpun tidak ada kata putus oleh kerajaan bahawa harga bahan mentah itu pasti dinaikkan tetapi kenyataan oleh Menteri berkenaan tempoh hari jelas meresahkan dan menyemakkan kotak minda rakyat Malaysia.


Kenaikan harga bahan mentah itu adalah perkara yang amat menggerunkan rakyat Malaysia dan kesannya tidak seburuk kenaikan harga gula sebanyak 20 sen sekilo tempoh hari.


Kenyataan Menteri berkenaan tempoh hari telah menyebabkan kecalaran kepada momentum keyakinan rakyat kepada kerajaan.


Kenapa harus diwar-warkan berita kemungkinan kenaikan harga bahan mentah itu sedangkan keadaan yang sepatutnya wujud dahulu adalah mengkaji dan menilai kesediaan rakyat untuk berhadapan dengan kenaikan harga bahan mentah itu.


Ketidaknaikkan harga bahan mentah yang diumumkan oleh kerajaan semalam bukanlah 'satu bonus' kepada rakyat kerana rakyat telah terbelenggu mindanya apabila Menteri berkenaan mewar-warkan kemungkinan harga bahan mentah itu dinaikkan.


Rakyat sudah terbiasa dengan mainan persepsi yang saban hari di didik oleh Pakatan Rakyat. Dan percayalah bahawa biarpun harga bahan mentah ini tidak dinaikkan tetapi Pakatan pasti akan menanamkan minda di kepala rakyat bahawa kenyataan Menteri itu adalah suatu penipuan kepada rakyat.


Dan lebih daripada itu, rakyat yang terpengaruh dengan persepsi ini akan berterima kasih kepada Pakatan kerana seolah-olah atas desakan dan kuasa politik Pakatan lah harga bahan mentah itu tidak dinaikkan.


Sayugia, biarlah kita sarankan kepada Menteri berkenaan. 'Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar'. Jangan sudah roboh baru hendak dicari di mana reputnya.


Jika tidak luka kenapa harus ditoreh dan dihiris..Aduhai Mail Sabri...