Showing posts with label SBPA. Show all posts
Showing posts with label SBPA. Show all posts

Thursday, March 8, 2012

Kenaikan gaji: Durian runtuh siapa?



Semua kakitangan awam perlu menzahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri yang mengumumkan pelarasan gaji kepada kakitangan awam semalam.

Harapan besar adalah peningkatan ketara mutu kerja kakitangan awam yang sebelum ini dilihat amat negatif oleh orang ramai di luar sana.

Cuma yang meresahkan dan yang sudah hampir pasti dapat dilihat ialah pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri semalam akan 'merayakan' para peniaga yang pastinya akan menaikkan harga barang. Itu perkara lumrah setiap kali kerajaan mengumumkan kenaikan pendapatan yang melibatkan kuasa beli rakyat.

Pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri semalam seharusnya disambut sebagai satu tanggungjawab kepada Menteri, Ismail Sabri untuk memastikan harga barang tidak dinaikkan sesuka hati oleh para peniaga yang pastinya akan 'membaham' semua kenaikan itu.

Amaran semata-mata tidaklah dapat menjamin harga barang tidak akan naik tetapi lebih daripada itu seharusnya Ismail Sabri memikirkan mekanisma yang lebih baik bagi menangani kebarangkalian kenaikan harga barang.

Naikkanlah 10 kali gaji sekalipun tetapi jika kuasa beli pengguna 'dibaham' sewenangnya oleh para peniaga apalah ertinya dengan kenaikan.

Sebolehnya,kita tidak mahu kenaikan yang disifatkan sebagai durian runtuh itu akan memberikan isi durian kepada para peniaga dan kulit durian itu hanyalah duri yang akan menyakitkan kerajaan yang dilemparkan semula oleh kakitangan awam di dalam PRU ke 13 nanti.