Monday, July 30, 2012

Lajim: Jikalau tak suka tak apa



SUATU ketika dahulu lagu yang berjudul TAK SUKA TAK APA nyanyian kumpulan Screen sering menjadi siulan anak muda kerana liriknya menggambarkan kedukaan akibat putus cinta yang mendalam.

Mungkin sahaja lagu itu kini menjadi siulan Lajim Ukim yang mengambil keputusan untuk menyokong gerombolan Pakatan. Sebagai orang yang tidak rapat dengan Lajim tentulah kurang enak jika kita membuat spekulasi berhubung keputusannya itu. Sesiapa sahaja di dunia ini berhak membuat keputusan yang dirasakan terbaik untuk dirinya. Tiada sekatan dan halangan.

Tetapi sebagai golongan yang digelarkan ‘orang-orang UMNO’ oleh Presiden UMNO semasa Perhimpunan Agong UMNO yang baru lalu, tentulah keputusan Lajim ini mengundang kemarahan dan rasa kecewa orang-orang UMNO. Pelbagai spekulasi dibuat oleh orang-orang UMNO dan tidak hairan jika tokok tambah dan penglipur lara politik akan menjadikan perkara ini ibarat suatu lagenda.

Hakikatnya, tidak ada apa yang perlu dideritakan dengan keputusan Lajim. Lajim tetap Lajim dan yang berubahnya cumalah ideologi politik. Kalau dulu kita boleh duduk semeja bersama Lajim janganlah menjadikan keputusan Lajim ini sebagai satu alasan untuk merenggangkan ukhwah sesama manusia lebih-lebih lagi di bulan yang penuh barkah ini.

‘Benci dan marah’ kita haruslah dijuruskan kepada percanggahan ideologi politik dan janganlah sampai membenci sesama manusia. Fitrah manusia adalah berkasih sayang dan yang marah itu hanya akan menjadi kesukaan syaitan.

Kepada yang merasakan diri mereka ‘orang-orang UMNO’ yang dewasa dan matang, terima sahaja keputusan Lajim. Anggap sahaja keputusan ini adalah seperti keputusan anak yang tidak mahu menerima keputusan ibubapanya di dalam soal jodoh.

UMNO tentulah diibaratkan sebagai ibubapa  dan sampai ketikanya bukan perkara baru jika si anak enggan mendengar kata-kata ibubapanya lagi dan hakikatnya uraikan sahaja pada kisah SI TANGGANG.

UMNO tidak perlu teragak-agak untuk memecat Lajim sebagaimana Lajim tidak teragak-agak untuk membuat keputusan ini. UMNO tidak perlu dilihat sebagai sebuah parti yang ketandusan pemimpin dan tentunya UMNO biasa mendengar kata-kata dalam filem P. Ramlee ‘sekali kita ketika, sepuluh yang datang tau’.

Pilihanraya Umum yang akan datang ini adalah medan terbaik kepada seluruh ‘orang-orang UMNO’ untuk melepaskan marah dan kecewa pada Lajim. Terjemahkan rasa marah anda itu dengan memberikan kemenangan besar kepada Barisan Nasional khususnya di Sabah. Jangan sekadar marah membuta tuli yang semata-mata mahu menampakkan anda adalah seorang pejuang yang mempertahankan UMNO tetapi hakikatnya seperti peribahasa ‘anjing menyalak bukit’.

Apapun kita ucapkan selamat berjuang di pentas yang baru kepada Lajim. Tidak ada keluh kesah dengan keputusan Lajim ini dan ayam jantan tentulah sabungnya di tengah gelanggang dan bukan sekadar berkokok bersahutan-sahutan. Kita sama-sama tunggu kelibat bayang Lajim di dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Dari dahulu UMNO berjuang dan selamanya akan berjuang. Membujur lalu melintang patah. 

1 comment:

  1. Syukur Alhamdullilah DURI DALAM DAGING sudah keluar...LEGAAA !!

    ReplyDelete