TAMPAKNYA saban hari rakyat Malaysia
semakin ramai yang ingin menceburkan diri di dalam arena politik. Tidak kiralah
sama ada sekadar menjadi penganalisis politik yang tidak bertauliah mahupun
yang membuat cubaan berani dengan
menonjolkan diri sebagai ahli politik yang ada kedudukan. Lebih daripada itu
ada yang sudah menganggap bahawa diri merekalah winnable candidate.
Politik adalah satu perkara yang
penuh dengan seni. Ada orang yang berkata politik bukanlah sesuatu yang kotor
tetapi mereka yang menceburi dan mewarnakan politik itulah yang mengotorkan
politik. Politik adalah soal ‘membeli jiwa’ dan ‘kelihatan tampak baik-baik sahaja’
tetapi mereka yang menceburkan diri dalam politik telah merosakkan asas
permainan seni politik kepada soal fitnah dan yang lebih teruk daripada itu
sehingga ada yang sanggup mencemarkan nama baik dan kejadian makhluk Tuhan.
Di dalam kedegilan untuk
memenangi jiwa rakyat, sama ada ahli politik mahupun penyokong politik, mereka
seakan terlupa kepada hak dan hakikat untuk berbaik sangka sesama manusia.
Nilai-nilai murni dan ukhwah sesama manusia seakan semakin terhakis nilainya
dek kerana kegilaan untuk kelihatan hebat di dalam percaturan politik dengan
apa yang dikatakan sebagai geraksaraf dan propaganda.
Geraksaraf yang pada asasnya
bersifat ‘membeli jiwa dan kepercayaan’ telah
melencong daripada matlamat asal apabila yang mendakwa diri mereka sebagai
hebat di dalam perang geraksaraf mengambil pendekatan untuk memburukkan
individu tertentu tanpa memikirkan soal dosa dan pahala. Ini adalah suatu fenomena di dalam seni
politik di Malaysia.
Peribahasa yang mengatakan
‘belakang parang jika setiap hari diasah pun akan menjadi tajam’ nampaknya
menarik minat golongan tertentu untuk mempraktikkan peribahasa itu di dalam
percaturan politik mereka. Lihat sahaja
apa yang dilakukan kepada wanita pertama Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor
yang saban hari menjadi ‘punching bag’ oleh
seteru politik suaminya. Biarpun beribu
penjelasan dibuat oleh Rosmah tetapi gerombolan seteru politik suaminya seakan
tidak pernah sedar bahawa air yang pasang juga ada masanya akan surut. Rosmah
terus diasak dan akhirnya Rosmah mengeluarkan kenyataan yang cukup bermakna dan
tinggi nilainya ALAH BISA TEGAL BIASA yang jelas menunjukkan sifat redhanya
dengan ujian.
Percayalah semakin kuat beliau
diasak semakin kuat semangatnya untuk berdepan dengan ujian itu dan lambat laun
rakyat di luar sana pasti akan sedar apa yang sedang dilakukan oleh gerombolan
seteru politik suaminya adalah fitnah semata-mata. Keterlaluan seteru politik
suaminya akhirnya pasti akan menimbulkan kemuakkan rakyat kepada permainan
politik kotor ini.
Suka diingatkan kepada penulis
yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘cyber
troopers’ yang menyokong parti kerajaan agar tidak terikut ikut trend
permainan politik gerombolan pembangkang.
Kata nista serta cacian usahlah dijadikan modal di dalam asas penulisan.
Jika kita percaya bahawa pengundi sudah semakin bijak dan suka berfikir mana
yang baik maka kita haruslah lebih bijak untuk membeli jiwa pengundi. Kelebihan yang ada pada orang Melayu ialah
rasa simpati dan jika beria-ia memburukkan individu tertentu percayalah
individu yang diburukkan itu akan meraih simpati dan anda pula yang kelihatan
buruk tingkah laku dan adabnya. Jauh daripada itu, parti kerajaanlah yang
menanggung kejelekkan penulisan anda.
Dengan mengambil contoh serangan cyber troopers yang menyokong parti
kerajaan terhadap aktres Abby Abadi apabila aktres itu mengambil keputusan
untuk menyertai PAS. Seluruh cyber troppers yang menyokong parti kerajaan
kelihatan amat resah dengan keputusan Abby itu lantas beliau diserang
seolah-olah tidak ada soal dosa dan pahala.
Entah di mana istimewanya Abby
sehinggakan secara tiba tiba nama Abby melonjak di persada politik yang
sekaligus digunapakai oleh PAS untuk meraih populariti. Keruan apakah yang
bermain di benak cyber troopers yang menyokong parti kerajaan sehingga tampak
begitu kalut sehinggakan rakyat di luar sana sudah mula berkata ‘Ikut suka Abbylah nak sokong mana pun,
kalau betul sekalipun dia bernikah dengan orang PAS apa masalahnya? Bukan dia
buat dosa pun’.
Jangan kerana kurang cerdiknya
kita menyerang, rakyat hanya akan melihatnya sebagai bahan jenaka dan kebencian rakyat. Jika
rakyat benci kepada kita bukanlah sesuatu masalah yang besar kerana kita
sekadar individu terpinggir yang tidak dikenali tetapi yang malangnya kita
sedang melakukan kerosakkan kepada seluruh organisasi yang kita sokong.
Di ambang pilihanraya umum yang semakin
hampir adalah jauh lebih baik kita mewar-warkan kepada rakyat apakah sumbangan
dan bakti yang telah parti kerajaan lakukan untuk kesejahteraan hidup rakyat.
Rasanya jika dibariskan satu persatu mungkin tidak akan habis sumbangan yang
telah dilakukan oleh parti kerajaan. Pun begitu keterlebihan memuji akan
menyebabkan rasa muak.
Jika kita fikir selebriti dapat
membantu perjuangan kita, lupakan sahaja nama Abby Abadi kerana sudah terang
lagi bersuluh ke mana haluan perjuangannya. Apakah kita lupa kepada Amy Search,
May Mus, Ibnor Reza dan ramai lagi yang sudah mengisytiharkan menjulang bendera
perjuangan yang sama dengan kita? Apa dipuji anak orang sebaiknya pujilah anak
kita yang akan mewarisi kita.
Dengar cakap enggang, makan buah belolok, dengar cakap pembangkang, jom
ramai-ramai terjun lobok.
STUJUUUUUUU....
ReplyDeletedia tengah gila talak tu....
ReplyDelete