Aduhai belum habis lagi lelah di Bukit Selambau untuk pilihanraya kecil yang menyaksikan BN kecundang lagi dah timbul pula gelora di Terengganu. Semuanya gara gara dakwaan kononnya ada undi tak percaya terhadap Menteri Besar Terengganu. Yang harunya undi tak percaya tu nak datang dari kalangan ADUN BN sendiri. Apa nak jadi??
Aku dah naik menyampah dan meluat pun ada..Kasihan lah kat jentera BN yang belum pun hilang penat lelahnya dan kerinduan pada keluarga pasal berkhidmat untuk parti di Bukit Selambau dan Bukit Gantang. Jentera bermati matian, bertungkus lumus bekerja untuk menarik kembali kepercayaan pengundi kepada BN. Alangkah hibanya hati bila penat lelah itu disambut dengan gelora yang pemimpin BN sendiri cipta. Tak boleh ke pemimpin BN bersatu padu dalam mengeluarkan pendapat dan berjalan seiringan.
Kalau macam nilah gayanya, jangankan cakap untuk menarik balik kepercayaan rakyat dan pengundi kepada BN, aku takut jentera BN yang di bawah ini pun akan angkat bendera putih pada BN. Bukan pasal apa tapi pasal ‘fed-up’ pada orang atasan tu. Boleh tak kalau orang atasan tu sama sama bersatu dengan jentera yang ada di bawah ni. Janganlah terlalu lalai kerana dah duduk di atas kerusi empuk di Putrajaya tu dan merasakan bahawa BN dan UMNO akan terus kekal sebagai parti terulung dan akan terus memerintah Malaysia selama-lamanya. Aku tak hairan kalau BN dan UMNO akan terus dihukum oleh rakyat dalam pilihanraya umum yang akan datang kalau beginilah cara pemimpin UMNO dan BN memerintah. Jangan lupa bahawa rakyat bukanlah bodoh dan pekak serta bisu. Rakyat kini terlalu bijak sehinggakan berkuasa menghukum BN seperti dalam pilihanraya umum ke 12 yang lalu. Sekarang apakah wajar untuk kita terus menyalahkan Pak Lah kerana kecundangnya BN dalam pilihanraya umum ke 12 yang lalu?
Aku ingat dengar berundurnya Pak Lah dari teraju pucuk pimpinan semua pemimpin BN yang ada sekarang telah menarik nafas lega kononnya telah lepas dari belenggu seorang pemimpin yang lemah tapi nampaknya keadaan tetap sama seperti dahulu. Sekarang mungkin orang telah sedar bahawa Pak Lah bukanlah punca segala galanya tetapi yang menyebabkan UMNO menjadi sedemikian rupa adalah disebabkan pemimpin pemimpinnya. Sampai bila UMNO dan BN akan merubah dan kembali kuat seperti dulu. Budaya cantas mencantas di dalam UMNO ni perlu dibuang jauh jauh sekiranya UMNO dan BN berhasrat untuk kembali utuh seperti dulu. Soalnya bila?
Tak sampai sebulan pucuk pimpinan baru mengambil alih kuasa pemerintahan bermacam macam isu yang dah timbul dan boleh orang ramai persoalkan. Isu ‘Satu Malaysia’ pun orang boleh persoalkan kononnya sama dengan dasar Malaysian Malaysia yang dibawa oleh DAP. Sampai bila isu ni nak dibiarkan begitu saja dan dieksploitasi oleh pembangkang?? Aku harap sangat akan ada penjelasan yang menyeluruh oleh menteri yang berkenaan kalau tidak ianya akan hanya menjadi seperti dasar ‘Islam Hadhari’ yang dibawa oleh Pak Lah. Ianya hanya akan menjadi satu beban yang terpaksa dipikul oleh seluruh jentera BN.
Rakyat sudah mula menilai kepimpinan BN dan UMNO yang baru dan mungkin semua sudah berpendapat bahawa Presiden UMNO yang baru sekarang tidaklah sebijak yang disangka dan yang lebih menakutkan apakah rakyat akan menilai pemimpin UMNO yang baru sekarang ni selemah Pak Lah..Aduhai mudah mudahan janganlah sampai ke tahap itu.
Dulu masa Pak Lah dihentam dan dicemuh kerana kononnya lemah mentadbir kini orang nombor dua negara cakap UMNO perlu diberi 2 tahun untuk dibaikpulih. Pada aku dua tahun tu satu tempoh yang lama dan kalau dulu kita sibuk mendesak Pak Lah untuk mempercepatkan tempoh peralihan kuasa kenapa sekarang kita nak pula diberi peluang untuk satu tempoh untuk membaikpulih UMNO dan BN. Tak boleh ke dilakukan sekarang. Atau adakah sekarang tempoh untuk meraikan kejayaan menduduki kerusi empuk itu??
Teguran dan pandangan aku ni bukanlah menunjukkan atau sebarang petanda yang aku akan meninggalkan UMNO atau BN kerana pada aku tetap tidak ada parti yang secekap BN dalam memerintah Malaysia tetapi anggaplah teguran ini kerana kasihnya aku pada BN dan UMNO. Aku tidak mahu UMNO dan BN lingkup kerana kebodohan dan kealpaan pemimpinya.
Ayuh kita sama sama buktikan BN dan UMNO terus relevan pada rakyat. Bukan esok atau dua tahun tapi kita mulakan dari sekarang.
No comments:
Post a Comment