Showing posts with label kenaikan harga barang. Show all posts
Showing posts with label kenaikan harga barang. Show all posts

Thursday, January 9, 2014

Bantulah dan dengarlah suara kami!!!


Ramai di kalangan pengamal media yang pro kerajaan sudah agak penat dan letih untuk menangkis sebarang dakwaan sama ada yang benar atau propaganda yang saban hari dimomokkan oleh Pakatan. 

Berbuih mulut menangkis segala hujah yang dikeluarkan oleh gerombolan Pakatan baik yang dihujahkan oleh pengamal media sosial mereka mahupun daripada kalangan pemimpin mereka sendiri.

Antara isu terkini yang diasak oleh mereka ialah isu kenaikan harga barang. Sama ada perkara itu benar atau sekadar fitnah ianya tetap menarik minat rakyat kerana maklumlah semua di antara kita sedar bahawa rakyat sudah cukup terbeban dengan kos sara hidup yang amat membebankan.

Apa yang memenatkan ialah pengamal media sosial seakan terpaksa berdepan dengan isu ini sendirian tanpa dibekalkan dengan fakta. Jika ada pun fakta maka terpaksalah menggunakan inisiatif sendiri untuk mencari fakta tersebut.

Sukalah dicadangkan kepada pihak kerajaan agar pihak yang berkenaan untuk segera tampil memberikan penjelasan kepada rakyat terhadap apa jua isu yang dimomokkan oleh Pakatan supaya rakyat tidak terkeliru.

Pelbagai saluran yang boleh digunakan oleh kerajaan tetapi hendaklah memastikan bahawa saluran itu berupaya untuk terus sampai kepada rakyat.

Kerajaan hendaklah segera bertindak kerana amatlah sukar untuk memadamkan persepsi rakyat jika sudah tersemat di benak fikiran mereka. 

Contoh mudah..rakyat sudah seakan termakan dengan propaganda kes Shahrizat Jalil biarpun sudah dibuktikan bahawa Shahrizat tidak bersalah.

Ini mainan persepsi yang perlu segera ditangkis oleh kerajaan.

Wednesday, March 30, 2011

Kita perlu risau, undi protes akan menjahanamkan



Beratus kali tidur dan beratus kali mimpi, tidak pernah siapa akan menjangka bahawa beberapa buah negeri akan terlepas untuk diperintah oleh pembangkang. Biarpun secara hakikatnya, pembangkang bukanlah secekap mana untuk mentadbir urus negeri tetapi memadailah pembangkang menjadi satu instrumen kepada rakyat menzahirkan rasa marah yang membuak-buak. Dan penzahiran itu dicetuskan di dalam PRU ke 12 yang lalu.

Rakyat sudah semakin bijak dan kebijaksanaan itu diterjemahkan pula sebagai kuasa iaitu kuasa mengundi. Barisan Nasional harus mengimbangi kebijaksanaan dan kuasa yang ada pada rakyat jika tidak dacing tidak lagi akan mampu untuk menjadi elemen pengimbang.

Apa yang ada pada wakil rakyat pembangkang sehinggakan rakyat terkadang cenderung dengan pendekatan mereka? Wakil rakyat Barisan Nasional sudah boleh melupakan 'zon selesa'..tidak lagi berkereta mewah dan mewujudkan jurang di antara wakil rakyat dan rakyat. Harus duduk semeja dan perlu belajar bagaimana cara mengikat kain pelikat dan sedia untuk disembur dengan lawak jenaka yang keras di warung-warung di kawasan parlimen mereka mahupun di kawasan Dewan Undangan Negeri mereka.

Harga barang yang melambung naik biarpun bukan kemahuan Barisan Nasional tetapi itulah yang akan digunapakai oleh pembangkang untuk menggambarkan bahawa kelemahan tadbir urus Barisan Nasional adalah punca kepada fenomena ini. Biarpun kita boleh mengatakan bahawa rakyat tidak adil kerana menyalahkan kerajaan dengan kenaikan harga barang ini tetapi kita harus sedar bahawa rakyat juga harus berlaku adil kepada diri mereka dan keluarga mereka sendiri. Dengan pendapatan terhad yang harus diagih-agihkan kepada banyak cabang dan keperluan, kita harus belajar merasa risau, undi sekali lagi akan menjadi penghukum yang amat dahsyat.

Sudah ada kedengaran di luar sana, keluh kesah rakyat yang terjerut leher dengan kenaikan harga barang. Kita pohon kepada pemerintah, untuk meninjau-ninjau keadaan ini. Menteri Hal Ehwal Pengguna haruslah diserahkan kepada yang benar-benar faham dengan keadaan hidup rakyat di bawah sana. Kita tidak mahu Menteri yang semata-mata mendengar dan menerima laporan dari pegawainya yang entahkan benar entahkan tidak..

Yang meragukan kita, jika benarlah apa jua laporan yang diberikan, masakan masih ada lagi rungutan rakyat berhubung kenaikan harga barang.

Sudah beberapa siri pilihanraya kecil yang memihak kepada Barisan Nasional tetapi itu bukanlah kayu pengukur yang akan kembali meletakkan Barisan Nasional di zon selesa. Di dalam perjuangan tidak pernah ada istilah zon selesa.

Api yang jelas membakar adalah jauh lebih mudah untuk dikawal berbanding dengan api yang membakar di dalam sekam..Api yang membakar di dalam sekam tanpa disedari akan meranapkan, hanya yang kelihatan adalah asap yang bolehlah disamakan dengan rungutan dan keluh kesah rakyat tentang kenaikan harga barang dan tekanan hidup yang memerlukan tampungan belanja yang amat besar.