Showing posts with label KPDNHEP. Show all posts
Showing posts with label KPDNHEP. Show all posts

Tuesday, May 10, 2011

Benarkah rakyat Malaysia terbeban?


Apabila kerajaan mengumumkan kenaikan harga gula pasir sebanyak 20 sen, ramai rakyat Malaysia yang melenting dengan senario tersebut.

Yang peliknya:

Kereta mewah di jalanraya terus bertambah.

Kedai mamak tetap bersesak-sesak.

Kelab malam tidak kurang pengunjungnya.

Padang golf tetap penuh seawal pagi.

Panggung wayang tetap mencapai box office.

SMS program realiti tv tetap mendapat sambutan.

Rumah teres dan kondo mewah berharga ratusan ribu ringgit ibarat pisang goreng panas setiap kali dilancarkan.

Pelajar dan orang ramai bertolak-tolak dan sanggup beratur di kompleks membeli belah untuk mendapatkan Blackberry, Ipad, Samsung Galaxy dan segala macam kemudahan teknologi tercanggih.

Tiket penerbangan selalu 'sold out'.

Kedai mamak menaikkan harga secawan teh sebanyak 20 sen sama dengan kenaikan harga sekilo gula. Adakah untuk menghasilkan secawan teh perlu menggunakan sekilo gula?

Kereta mewah yang berada di jalanraya, ansuran bulanannya mencecah ribuan ringgit, berapakah nisbah ribuan ringgit dengan RM 2.30?

Dengan penstrukturan semula subsidi gula, kerajaan telah berjaya untuk menjimatkan RM 116.6 juta setahun dan penjimatan ini boleh diagihkan untuk pembangunan lain-lain prasarana.

Adakah benar rakyat Malaysia terbeban dengan kenaikan harga yang sekecil itu? Rakyat Malaysia tampak sudah berjaya mencapai keperluan hidup tetapi sekarang lebih berlumba-lumba untuk mengejar keinginan bermewah-mewah.

Orang kampung bagaimana? Orang kampung sekadar mentertawakan orang-orang di bandar yang tampaknya mewah tetapi merungut dengan beban 20 sen. Orang kampung tidak pernah memilih untuk kehidupan bermewah-mewah, memadailah keperluan hidup berjaya dipenuhi. Ukurlah baju di badan sendiri dan 'jangan papa asal bergaya'.

Atau adakah beban yang kononnya terpikul di bahu rakyat ini adalah merupakan beban persepsi yang sengaja direka cipta untuk melunturkan populariti kerajaan?

Wednesday, March 30, 2011

Kita perlu risau, undi protes akan menjahanamkan



Beratus kali tidur dan beratus kali mimpi, tidak pernah siapa akan menjangka bahawa beberapa buah negeri akan terlepas untuk diperintah oleh pembangkang. Biarpun secara hakikatnya, pembangkang bukanlah secekap mana untuk mentadbir urus negeri tetapi memadailah pembangkang menjadi satu instrumen kepada rakyat menzahirkan rasa marah yang membuak-buak. Dan penzahiran itu dicetuskan di dalam PRU ke 12 yang lalu.

Rakyat sudah semakin bijak dan kebijaksanaan itu diterjemahkan pula sebagai kuasa iaitu kuasa mengundi. Barisan Nasional harus mengimbangi kebijaksanaan dan kuasa yang ada pada rakyat jika tidak dacing tidak lagi akan mampu untuk menjadi elemen pengimbang.

Apa yang ada pada wakil rakyat pembangkang sehinggakan rakyat terkadang cenderung dengan pendekatan mereka? Wakil rakyat Barisan Nasional sudah boleh melupakan 'zon selesa'..tidak lagi berkereta mewah dan mewujudkan jurang di antara wakil rakyat dan rakyat. Harus duduk semeja dan perlu belajar bagaimana cara mengikat kain pelikat dan sedia untuk disembur dengan lawak jenaka yang keras di warung-warung di kawasan parlimen mereka mahupun di kawasan Dewan Undangan Negeri mereka.

Harga barang yang melambung naik biarpun bukan kemahuan Barisan Nasional tetapi itulah yang akan digunapakai oleh pembangkang untuk menggambarkan bahawa kelemahan tadbir urus Barisan Nasional adalah punca kepada fenomena ini. Biarpun kita boleh mengatakan bahawa rakyat tidak adil kerana menyalahkan kerajaan dengan kenaikan harga barang ini tetapi kita harus sedar bahawa rakyat juga harus berlaku adil kepada diri mereka dan keluarga mereka sendiri. Dengan pendapatan terhad yang harus diagih-agihkan kepada banyak cabang dan keperluan, kita harus belajar merasa risau, undi sekali lagi akan menjadi penghukum yang amat dahsyat.

Sudah ada kedengaran di luar sana, keluh kesah rakyat yang terjerut leher dengan kenaikan harga barang. Kita pohon kepada pemerintah, untuk meninjau-ninjau keadaan ini. Menteri Hal Ehwal Pengguna haruslah diserahkan kepada yang benar-benar faham dengan keadaan hidup rakyat di bawah sana. Kita tidak mahu Menteri yang semata-mata mendengar dan menerima laporan dari pegawainya yang entahkan benar entahkan tidak..

Yang meragukan kita, jika benarlah apa jua laporan yang diberikan, masakan masih ada lagi rungutan rakyat berhubung kenaikan harga barang.

Sudah beberapa siri pilihanraya kecil yang memihak kepada Barisan Nasional tetapi itu bukanlah kayu pengukur yang akan kembali meletakkan Barisan Nasional di zon selesa. Di dalam perjuangan tidak pernah ada istilah zon selesa.

Api yang jelas membakar adalah jauh lebih mudah untuk dikawal berbanding dengan api yang membakar di dalam sekam..Api yang membakar di dalam sekam tanpa disedari akan meranapkan, hanya yang kelihatan adalah asap yang bolehlah disamakan dengan rungutan dan keluh kesah rakyat tentang kenaikan harga barang dan tekanan hidup yang memerlukan tampungan belanja yang amat besar.