Monday, January 2, 2012

Aspan Alias: Kalau itu yang terbaik..teruskan



Di kalangan sahabat blogger ramai yang sudah menulis akan kemasukan blogger Aspan dan Sakmongkol ke dalam DAP. Aspan di dalam artikelnya berkata biarpun diasak secara teruk oleh media arus perdana dan blogger pro-BN akibat daripada tindakannya itu berasa bersemangat kerana mendapat rangsangan daripada rakyat di luar sana.

Sebenarnya, tidak ada apa pun yang perlu diresahkan dengan tindakan saudara Aspan. Jika keputusan itu yang dirasakan terbaik oleh Aspan apalah perlunya kita keluh kesah dengan tindakan itu. Sesungguhnya, menyertai UMNO dan Barisan Nasional bukanlah suatu kemestian yang tidak boleh tidak harus dilaksanakan. Menyertai mana-mana parti politik adalah atas dasar 'kepercayaan' bahawa parti itulah yang terbaik buat mereka.

Aspan bukanlah suatu nama kecil dalam dunia blogging lantaran itu tentunya ada pihak yang ingin menyunting beliau apatah lagi dengan pengalaman beliau yang luas dalam dunia politik. Menyebut tentang perkataan menyunting pada kebiasaanya seperti di dalam majlis perkahwinan tentulah sedikit sebanyak mempunyai nilai yang seharusnya diutamakan. Biarpun sekadar adat tetapi adat itulah yang dijunjung manusia kerana Melayu sudah sepakat bahawa 'biar mati anak jangan mati adat'. Lagipun tidak ada Santa yang sekadar 'suka-suka' membawa guni untuk memberikan hadiah kepada rakyat teramai.

Politik adalah sesuatu yang berkisar kepada soal survival.Kehidupan harian adalah politik yang membutuhkan soal survival yang maksima dan optima. Tidak boleh tidak dan tanpa sebarang alasan, perut tidak boleh dibiarkan berkeroncong. Rakan-rakan di dalam PKR adalah cebisan daripada ahli-ahli UMNO yang penuh dengan rajuk dan nafsu marah. UMNO bukanlah suatu parti yang dapat menjamin kehidupan selesa seseorang individu secara khusus tetapi adalah sebuah parti pemerintah yang diamanahkan rakyat untuk mentadbir negara secara keseluruhan secara baik dan bijaksana dan alhamdulillah kita sudah mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain.

Berbalik kepada soal survival, jika saudara Aspan mendapati bahawa survival hidup beliau akan tidak menunjukkan titik akhir dengan menyertai DAP itu adalah tindakan yang lumrah kepada seseorang yang mencari nafas baru.Talian hayat. Jika ada peluang kepada saudara Aspan untuk menjadi calon di dalam pilihanraya kelak atas kerusi DAP itu juga dikatakan sebagai suatu kebaikan kepada saudara Aspan yang harus kita sokong kerana tidak ada manusia di atas mukabumi ini termasuklah DAP untuk membantu saudara Aspan secara total selain daripada Aspan sendiri yang mencari jalan bantu untuk survival beliau. Dan tindakan ini mungkin sahaja berkisar kepada soal survival. Tidak ada yang perlu disesal dan dikesalkan.

Manusia memang terlalu lambat untuk memerhati lantaran kerana hijab yang menebal. Bertahun lamanya bersama-sama UMNO baru kini Aspan 'terpandang' apa yang didakwa sebagai kebusukkan yang terkandung di dalam UMNO. Apakah dahulunya Aspan tidak terpandang atau terhidu segala kebusukan itu?Mungkin sahaja keadaannya sama seperti seseorang yang duduk di coffee house di hotel yang tidak pernah terbau segala kebusukan yang berada di dapur hotel tersebut kerana terlalu selesa dengan pendingin udara yang nyaman.

Apapun kita doakan yang terbaik buat saudara Aspan. Kecelaruan minda memang ada kalanya berlaku dan doakan sahaja ada sinar di hujung terowong buat saudara Aspan.Jika gelap hujungnya saudara Aspan ingatlah bahawa Kedai Rakyat 1 Malaysia ada menjual lilin buat saudara Aspan menerangkan kegelapan.

Kembalilah kepada laluan asal kerana laluan asal sudah anda tahu buruk baiknya dan ramai rakan-rakan yang dahulunya meninggalkan UMNO dan membuat pusingan U  hari ini berjaya mendapat tempat yang selesa. Kebusukan pada kita belum tentu pada yang lainnya.

Saudara Aspan lebih tahu dengan tindakannya dan mulut yang berkata belum tentu selari dengan apa yang sedang bersarang di dalam hati.

No comments:

Post a Comment