Saturday, May 2, 2009

Penanti: Kejutan Anwar tidak menjadi

SETELAH tiga kali kalah pada pilihan raya umum, Dr Mansor Othman, sekali lagi dicalonkan PKR untuk bertanding di DUN Penanti dan dijangka ditentang hebat oleh bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah dalam pengundian pada 31 Mei ini.

Namun berdasarkan laporan awal seorang pemimpin Pas Permatang Pauh yang anti-Anwar Ibrahim mungkin ‘kacau daun’ dengan mengingkari arahan Presiden Pas, Hadi Awang untuk turut bertanding merebut kerusi yang dikosongkan bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohd Fairus Khairuddin.

Tetapi kalangan pemerhati mengingatkan krisis dalaman itu mungkin sengaja dicetuskan sebagai satu lagi helah Anwar untuk menarik Umno meletakkan calon pada hari penaman 23 Mei depan bagi menyertai pilihan raya kecil N.12 itu.

Tinjauan menunjukkan aktivis Pas dan PKR akan digembleng bagi memastikan ‘Umno berkubur’ di Penanti walaupun ketua Pas Permatang Pauh mengumumkan semua jentera pilihan raya parti dibekukan kerana calon mereka tidak dipilih bertanding di lubuk Pas itu.

Sebenarnya Anwar yang cuba mencuri perhatian rakyat daripada difokuskan kepada pelantikan Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri keenam pada 3 April, dilaporkan akan membuat kejutan pada bulan April ini tetapi semua dibuatnya gagal mengalihkan tumpuan daripada Najib.

Pertama: Pengumuman Anwar mengenai barisan Kabinet Bayangannya tidak sempat disebarkan kerana hampir semua naskhah Suara Keadilan mengenainya dirampas kerana cuba dijual kepada ramai. Apa yang pasti kata blog Sarawak Update, hanya dua wakil dari Sarawak dilantik tanpa kelibat pemimpin Pribumi berbanding lima dalam Kabinet Najib.

Kedua: Rombakan AJK Pusat PKR yang memberi lebih banyak pendedahan kepada Wan Azizah mungkin adalah muslihat Anwar untuk menghadapi pelbagai kemungkinan berikutan perbicaraannya dalam kes liwat di Mahkamah Tinggi Julai ini.

Ketiga: Hajatnya meletakkan wakil PKR lebih matang dan cekap sebagai TKM 1 menggantikan Fairus diharap tercapai jika Mansor menang kelak. Bekas pensyarah USM itu bagi Anwar mampu menggalas tugas tersebut dan tentunya jasa Mansor ketika menjadi Setpol beliau dulu perlu dibalas.

Pada asasnya Fairus dianggap adalah mangsa sikap buruknya sendiri, tetapi dakwaan beliau wujud komplot menjatuhkannya kini semakin nyata dan tidaklah lain daripada satu lagi permainan licik didalangi Anwar.

Satu-satunya tuduhan paling berat iaitu Fairus terlibat dalam rasuah kes kuari terbukti tidak benar setelah disiasat SPRM manakala alasan beliau mahu menyambung pelajaran juga terlalu lemah.

Fairus sebenarnya tidak perlu mencari pihak untuk disaman atas tuduhan memfitnahnya kerana dalang penyingkiran beliau adalah Anwar sendiri.

Kini Anwar mempertaruhkan Dr Mansor bagi memikat 15,384 pemilih, termasuk 24 pemilih dengan pecahan sebanyak 72.68 peratus pengundi Melayu, 24.22 peratus (Cina), 2.3 (India) dan 0.71 lain-lain kaum.

Apa agak menyedihkan adalah sejarah kekalahan demi kekalahan dialami Dr Mansor sejak 1999 lagi. Beliau tewas kepada Zain Omar di kawasan undi Parlimen Balik Pulau pada 1999; kepada Ariff Shah Omar Shah di DUN Seberang Jaya pada 2004 dan kepada Muhammad Farid Saad di DUN Pulau Betong pada 2008.

Pada pilihan raya kecil Permatang Pauh Ogos tahun lalu, pengundi Penanti memberi Anwar majoriti 3,276 undi. Wakil PKR Abdul Rahman Abdul Kadir memenangi kerusi DUN Penanti pada 1999 tetapi tewas kepada ketua Umno Permatang Pauh Abdul Jalil Abdul Majid pada 2004. Tetapi Jalil kalah pula kepada Fairus, 8 Mac 2008.

Kerusi itu dikosongkan Fairus pada 16 April lalu dengan dakwaan beliau mangsa konspirasi pada hal sebenarnya Anwar sendiri mahu dia ‘disingkirkan’.

1 comment:

  1. Salam Blogger,

    Blog Tuan memang hebat, TAHNIAH...

    Jom lawati dan komen blog saya. TQ

    ReplyDelete