Friday, April 29, 2011

Video seks: Jangan suruh Nuar Berahim bersumpah



Dalam keadaan terdesak manusia sanggup melakukan apa saja. Sama sahaja keadaannya bila mana seseorang hampir lemas di tengah lautan..dapat berpaut pada sebiji kelapa atau sekeping papan sudah dikira sebagai satu rahmat besar.

Hari ini, Trio Datuk T, Datuk Eskay sudah melafazkan sumpah laknat ke atas dirinya sekiranya beliau menfitnah Nuar Berahim sebagai pelaku di dalam video seks yang hangat diperkatakan.

Biarpun adanya cubaan untuk menggagalkan upacara angkat sumpah itu tetapi tidak ada siapa yang dapat menghalangnya jika Allah swt mengizinkannya berlaku.

Sudah dua orang mengangkat sumpah laknat apabila berdepan dengan Nuar Berahim. Saiful yang mendakwa diliwat oleh Nuar Berahim dan hari ini giliran Datuk Eskay pula. Perdana Menteri juga sudah bersumpah dengan mengatakan yang beliau tidak mengenali Altantuya. Soalnya bila pula Nuar Berahim akan mengangkat sumpah?

Sumpah adalah untuk menegakkan kebenaran. Di dalam isu ini yang didakwa teraniaya adalah Nuar Berahim tetapi adalah sesuatu yang amat pelik bila orang yang didakwa teraniaya itu tidak mahu mengangkat sumpah.

Nuar Berahim terkenal dengan pergerakan yang amat licik. Tidak mungkin kita lupa bagaimana liciknya beliau mencari perlindungan di kedutaan Turki, bagaimana beliau mempengaruhi minda dengan perlakuan sakit pinggang, disuntik Asenik dan bermacam lagi pergerakan licik yang hanya mahu menagih simpati dan mempengaruhi minda.

Bukanlah sesuatu yang amat mengejutkan jika pada suatu hari nanti, Nuar Berahim akan tampil untuk mengangkat sumpah jika itulah jalan dan pilihan terakhir yang ada pada beliau untuk menyelamatkan hayat politiknya. Seperti kata rakan blogger Putramerdeka, Nuar sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan politik.

Bayang sahaja apa akan berlaku, di saat kita menghadapi detik Pilihanraya Umum ke 13, Nuar Berahim tampil dan mengangkat sumpah? Pastinya minda orang ramai akan terpengaruh dan tidak kurang pula yang akan menjadi was-was dan seterusnya bersetuju bahawa Nuar Berahim telah dianiaya. Mungkinkah apa yang ada di dalam kepala Nuar Berahim sekarang bahawa SUMPAH akan menjadi senjata terakhir di dalam menyelamatkan hayat politiknya yang sudah menampakkan tanda noktah?

Kalau berguru dengan wali selipar yang boleh mengatakan orang yang berzina boleh diampunkan oleh Allah swt dalam sekelip mata, jangan pula kita hairan jika bersumpah akan dilakukan sebagai talian hayat yang pastinya memberikan impak yang besar biarpun menidakkan hukum agama.

Jangan kita terjerat di antara sumpah demi agama dan sumpah untuk hayat politik..bisikan syaitan ada di mana-mana..Inilah janji iblis..Inilah jerat yang bukan dicipta manusia tetapi sememangnya janji iblis untuk menyesatkan manusia sehingga matahari terbit dari Barat.

Wallahualam..

Wednesday, April 27, 2011

Video Seks: Ngankung Esok!!!


Pesanan: Selepas selesai bermain, sila basuh tangan anda kerana mungkin ada kotoran yang tertinggal di tangan anda..jangan ragu-ragu dengan DNA anda kerana DNA akan berada di mana-mana termasuk di berus gigi dan sebagainya..


Kepada kaki-kaki nombor pastinya esok akan membanjiri kedai agensi nombor ramalan itu. Malam ini sekali lagi kaki-kaki nombor diberi 'hint' atau 'cai' tentang kemungkinan nombor yang akan keluar esok.

Video seks Part 1..tempoh yang didedahkan adalah selama 1 minit 47 saat..dan hari ini video seks Part 2 juga tempohnya 1 minit 47 saat. Jadi, jika benarlah ini hint yang diberikan mungkinkah nombor yang akan naik esok 147? Soalnya apakah satu lagi digit? Tapi itu bukan persoalannya kerana kaki nombor pasti tahu apa yang perlu di cai kan untuk mendapat 1 lagi digit.

Kepada kaki nombor harus berterima kasih kepada pelakon yang dianugerahkan dengan kelebihan sedemikian rupa..

Kalau ikut perut pelakon dalam video itu, buncit boleh jadi menggambarkan angka 0. Tapi oleh kerana ada 2 pelakon, mungkin saja digit 2 akan menjadi pelengkap kepada 4 digit yang dicari? Keseluruhan daripada video itu dikatakan mengambil masa 20 minit? Jadi mungkin benarlah angka 2 dan angka 0 boleh diguna pakai.

Apa pun, kaki-kaki nombor bolehlah ngangkung untuk dapatkan satu lagi digit yang belum selesai.

Aku sekadar beri hint kepada kaki nombor..kalau betul-betul naik nombor itu, aku cuma minta kau orang belikan lah jam Omega pada aku..

Aduhai...Ini benar-benar reformasi ngankung!!!

Tuesday, April 26, 2011

Sajak 'Melayu' Usman Awang

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
jangan mati anak
Dalam sejarahnya

Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali

Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
anak di pangkuan mati kebuluran”

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka!

Monday, April 25, 2011

Tiada yang baru yang Zaini Hasan cuitkan


1 Melayu 1 Bumi yang disarankan secara peribadi oleh Datuk Zaini Hasan di dalam ruangan cuit Utusan Malaysia bukanlah sesuatu yang baru didendangkan.

Sebenarnya, orang-orang Melayu marhaen yang tidak kemaruk politik lebih dahagakan penyatuan kaumnya berbanding dengan kegilaan orang-orang politik Melayu yang tidak langsung memikirkan untung nasib kaumnya..Yang penting dan sentiasa memberontak dalam kepala dan benak mereka hanyalah mengejar kuasa yang pastinya boleh menjamin kekukuhan ekonomi.

Mungkin orang politik Melayu jarang berjalan di warung-warung kerana terlalu selesa melepak di hotel-hotel mewah biarpun sekadar menikmati secawan teh. Pergi saja ke Pandan Indah sebagai satu contoh, lihat sahaja bagaimana utuhnya perpaduan di kalangan peniaga Cina di sana. Berniaga di bawah satu bumbung yang sama dan tidak wujud soal dengki dan khianat sesama mereka. Kedai tayar dan workshop kereta di Pandan Indah juga didominasi oleh peniaga-peniaga Cina dan akibat dari penyatuan inilah maka banyak industri perniagaan dimonopoli oleh kaum Cina.

Orang Melayu dalam soal menjadi imam masjid pun kadang kala boleh membawa kepada soal bermasam muka. Apatah lagi dalam soal mengejar kegilaan kuasa politik. Baik di dalam UMNO mahupun PAS. Yang kalah di dalam pertandingan merebut kerusi setiap kali adanya pemilihan akan membawa rajuk yang panjang yang kemudiannya disalurkan dengan rasa dendam yang membara. Sebab itulah di dalam beberapa siri Pilihanraya Kecil istilah cah keting selalu kedengaran.

PAS sudah terlalu jauh melupakan soal penyatuan orang-orang Melayu. Jika tidak sudah lama idea untuk mewujudkan kerajaan perpaduan diterima pakai oleh PAS. PAS lebih suka dan cenderung menawarkan syurga kepada pengikut-pengikutnya. Waimah jika ada pengundi Cina yang mengundi PAS pun akan dijanjikan syurga firdaus. Atas kelemahan dan kepercayaan cetek PAS itulah maka DAP sebijak kancil memperkudakan PAS untuk memancing undi orang-orang Melayu sekaligus memecahkan Melayu kepada puak-puak.

Sebenarnya apa yang ditulis oleh Datuk Zaini itu adalah kerana jiwanya yang cintakan dan sayangkan Melayu tercampur pula dengan emosi marah yang terkecewa kerana melihat bangsanya semakin diinjak-injak. Ada benar dengan apa yang Datuk Zaini nukilkan malah sebenarnya ramai orang Melayu yang bebas dari kegilaan mengejar kuasa politik bersetuju dengan apa yang Datuk Zaini nukilkan. Sesuai benar Datuk Zaini berkhidmat di Utusan Malaysia dan atas sebab itulah tidak ada salah dengan apa yang beliau nukilkan. Rasanya, jika Datuk Zaini berkhidmat dengan suratkhabar bukan Melayu pun tulisannya pasti akan menjurus kepada soal penyatuan Melayu kerana orang Melayu kaya dengan jiwa, kaya dengan keresahan dan juga kaya kepada soal terlupa. Orang yang terlupa harus dicuit dan cuit Datuk Zaini itu mungkin sahaja akan membuatkan ada orang yang melatah.

Pandangan Tun Mahathir berhubung apa yang Datuk Zaini nukilkan adalah pandangan seorang bekas pemimpin yang pastinya melihat sesuatu secara menyeluruh. Dan sebagai pemimpin yang banyak dan besar jasanya mungkin beliau merasakan perkara itu tidak perlu dinukilkan secara terbuka.

Ibarat menarik rambut di dalam tepung, biarlah semuanya dalam keadaan baik-baik sahaja. Cuma orang-orang Melayu sudah seharusnya boleh menghidu atau terbau ada benda yang sedang membakar di dalam sekam dan mujurlah ada Melayu seperti Datuk Zaini Hasan yang cuba menyedarkan orang Melayu biarpun sekadar cuit-cuit manja.

Monday, April 18, 2011

Jangan terlalu cepat menghukum


Segala persoalan tentang sama ada BN mampu untuk mengekalkan kuasa 2/3 di Sarawak sudahpun terjawab. Sekalung tahniah kepada jentera kerja BN dan mana-mana pihak yang bertanggungjawab untuk memenangkan BN.

Dan selepas daripada itu, seperti orang yang terlalu kemaruk berpolitik, peralihan kuasa Ketua Menteri Sarawak pula yang menjadi satu topik yang hangat dibincangkan dan ditunggu-tunggu.

Suka diingatkan kepada sesiapa yang terlupa bahawa Pakatan terlalu bijak bermain propaganda dan persepsi. Siapakah di antara kita yang secara peribadi mengenali Ketua Menteri Sarawak yang sedia ada? Mungkin di kalangan orang-orang politik mengenali Ketua Menteri Sarawak itu secara peribadi tetapi kepada rakyat di luar sana siapakah yang benar-benar mengenali hati budi Ketua Menteri itu?

Kita jangan lupa kepada pendedahan Syeikh Kickdafella bagaimana beliau diupah untuk memburukkan imej Pak Lah sehingga kita tanpa segan silu menghukum Pak Lah dengan termakan mainan persepsi tu dan sehingga kini masih ramai yang belum meminta maaf kepada Pak lah kerana rasa buruk sangka terhadap beliau. Dan apakah kita akan sekali lagi akan berhutang maaf kepada Taib Mahmud seperti kita berhutang maaf dengan Pak Lah hanya kerana kesilapan berburuk sangka kepada mereka.

Jika benarlah Taib Mahmud seperti yang digambarkan pembangkang, agak menghairankan bagaimana beliau masih berjaya mengekalkan kerusi yang ditandinginya? Apakah rakyat Sarawak buta kerana masih mengundi Taib Mahmud jika benarlah busuknya Taib Mahmud seperti yang digambarkan pembangkang? Justeru, orang-orang Semenanjung yang hanya mendengar khabar-khabar angin tidak termakan dengan mainan persepsi yang selalu dicanangkan pembangkang.

Sudah jelas bahawa Sarawak cukup maju di bawah pentadbiran Taib Mahmud, justeru itu mencari pengganti Taib Mahmud bukanlah perkara enteng yang boleh dibuat dengan hanya menurut rasa dan selera. Banyak perkara yang perlu difikirkan terlebih dahulu dan perkara itu seharusnya diserahkan kepada rundingan antara Najib dan Taib Mahmud seperti mana yang mereka persetujui semasa tempoh berkempen tempoh hari.

Jangan kerana hanya termakan mainan persepsi pembangkang, kita terlalu emosi untuk menghukum kerana 'tak kenal maka tak cinta' dan sekalipun 'cinta itu buta' kita serahkan saja pada 'jauhari' kerana hanya 'jauhari mengenal manikam'.