Ucapan perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2008 tidak lagi disulami dengan gelak ketawa atau jenaka sebagaimana sebelum ini. Lima perwakilan yang berucap sebelum sidang ditangguhkan hari ini lebih serius dan terbuka tentang apa yang berlaku dalam UMNO hari ini sehinggakan imej dan maruah orang Melayu diperlekeh. Hujah-hujah yang dilontarkan juga banyak berkisar tentang apa yang perlu dilakukan oleh pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO untuk mengukuh dan mengembalikan keyakinan orang Melayu terhadap UMNO. UMNO hari ini bukan sahaja dianggap lemah, semakin dijauhi oleh orang-orang Melayu tetapi juga berdepan dengan ancaman apabila ada pihak yang secara terbuka mula mempersoalkan tentang hak dan isu Ketuanan Melayu.
Wakil Melaka dari UMNO Bahagian Bukit Katil, Datuk Hasnoor Sdg. Husin dalam ucapannya mengingatkan pemimpin-pemimpin UMNO terutamanya Presiden UMNO yang baru Datuk Seri Najib Tun Razak bertindak ke atas pihak-pihak yang cuba mempersoalkan isu Kontrak Sosial dan Ketuanan Melayu. “Kebelakangan ini bukan Melayu begitu berani mempersoalkan hak orang Melayu dalam isu Ketuanan Melayu dan Kontrak Sosial dan sesuatu perlu dibuat untuk menghentikannya. Selama ini orang Melayu tidak pernah mempersoalkan atau mempertikaikan hak bukan Melayu. Orang Melayu hanya mempertahankan hak mereka. Dalam isu pemberian kewarganegaraan, orang Melayu tidak pernah mempertikaikannya dan menerima apa yang sudah diputuskan atau dipersetujui oleh pemimpin sebelum ini,”. “Saya pernah membangkitkan tentang Perkara 14 (A) cadangan mewujudkan kerakyatan kelas satu dan dua dan ada pihak yang menganggap kenyataan saya itu satu provokasi yang sangat merbahaya. Satu laporan polis dibuat oleh Lim Kit Siang dan menuduh saya bawah Akta Hasutan. Saya disoal siasat di Balai Polis selama tiga jam. Akibatnya saya dikenakan tindakan gantung keahlian selama tiga tahun semata-mata kerana bercakap soal mempertahankan hak Melayu,” kata beliau.
Beliau juga mempersoalkan, apa sudah jadi dengan orang Melayu hari ini di mana bila ada orang Melayu bangkit mempertahankan hak orang Melayu, mereka dikenakan tindakan. Tetapi jika bukan Melayu boleh bercakap apa sahaja tentang orang Melayu termasuk mempersoalkan hak dan Ketuanan Melayu dalam Kontrak Sosial, tidak pula dianggap satu kesalahan.
Turut disentuh ialah tentang tindakan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang mencium keris yang mencetuskan rasa tidak puas hati pemimpin bukan Melayu sehingga memaksa beliau memohon maaf. “Tindak tanduk orang Melayu yang terlalu berlembut inilah yang menjadikan orang Melayu semakin lemah. Orang Melayu gagal mempertahankan maruah dan hak di dalam negara sendiri. Sebagai ahli UMNO yang setia, kami sekali lagi mengulangi komitmen untuk sama-sama pertahankan maruah bangsa dan tanah air bersama-sama Presiden dan barisan kepimpinan UMNO dalam berdepan dengan isu perkauman yang dibangkitkan oleh orang bukan Melayu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui bahawa menjadi pemimpin UMNO hari ini ibarat memakai kain yang singkat. Tutup kepala nampak pula lutut dan tutup lutut mendedahkan pula kepala. “Ibaratnya, jika kita bercakap tentang isu, hak dan perjuangan orang Melayu, kita akan hilang sokongan orang bukan Melayu. Tetapi kita kena ingat, jika kita terus bertoleransi, kita akan kehilangan sokongan orang Melayu pula. Di sini pemimpin UMNO perlu ingat bahawa sebusuk-busuk mana sekali pun orang Melayu, kalau kita sama-sama memperjuangkan isu dan hak orang Melayu, lambat laun mereka akan tetap bersama UMNO untuk sama-sama menyokong mempertahankan maruah bangsa sendiri,” katanya.