Tuesday, January 3, 2012

Sambungan kata Hang Tuah



Anda takut Melayu akan hilang di dunia? Anda takut bangsa Melayu akan lenyap di dunia?

Anda tidak perlu gusar akan kemungkinan Melayu akan hilang dan luput di dunia kerana pahlawan Melayu, Hang Tuah ada berkata 'TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA'.

Timbul pula pertanyaan daripada segelintir sahabat yang bertanya kepada Jebat, 'Hang Tuah cakap Melayu tak hilang di dunia tetapi Hang Tuah sendiri hilang entah ke mana' dan Jebat jawab kepada mereka 'Hang Tuah bukan hilang tetapi sedang sibuk mengelilingi dunia untuk pastikan benarkah Melayu masih ada di setiap pelusuk dunia'.

Bukti benarnya kata Hang Tuah, Melayu tidak akan hilang dan Melayu akan sentiasa kelihatan, tunggulah 9hb Januari ini Melayu akan bersepah di tengah jalan. Sebabnya, Melayu tidak mahu Melayu dipenjarakan. Melayu liwat Melayu, yang bertembung juga Melayu dengan Melayu. Hebatkan Melayu..di mana-mana ada Melayu.

Itulah yang bukan Melayu risaukan kerana pepatah Melayu ada mengatakan 'gajah sama gajah bergaduh, pelanduk mati di tengah-tengah'. Benarkah? Pelanduk bukan bodoh seperti gajah, pelanduk lebih suka gajah bergaduh kerana apabila keletihan bergaduh, gajah sudah hilang tenaga dan sudahnya gajah hilang kuasa.

Jadi sambungan kepada kata-kata Hang Tuah 'Melayu takkan hilang di dunia....KUASA BAGAIMANA?

Singkirkan mahasiswa biar dia orang tak dapat kerja? Siapa cakap?



Ada di antara kita yang pandai-pandai cakap supaya Adam Adli dibuang kampus kerana tindakannya menurunkan bendera di PWTC dan kerana keceluparan mulutnya berdemo di depan UPSI tempoh hari. Mereka berkata buang sahaja Adam Adli dan baru dia tahu bagaimana susah mendapat kerja tanpa sijil.

Siapa kata tidak ada sijil sukar untuk mendapatkan pekerjaan? Zaman ini dunia serba canggih peluang pekerjaan ada di mana-mana biarpun tanpa sijil.

Dengan muka jambu yang ada pada Adam Adli tentulah peluang pekerjaan sentiasa ada di depan matanya. Setidak-tidaknya tentulah dia layak menjadi pembuat kopi dan teh di pejabat bakal Perdana Menteri paling sibuk dalam sejarah.

Karier sebagai membuat teh dan kopi pada masa ini bukanlah suatu kerja yang rendah tarafnya kerana ramai di kalangan pembuat teh dan kopi sudah boleh mengikut bos mereka ke luar negara kerana kopi dan  teh itulah yang seringkali membuatkan bos  MERINDUI mereka. 

Pembuat teh dan kopi juga sebenarnya mudah untuk dinaikkan pangkat kerana selain daripada membancuh teh dan kopi mereka sering diberikan peluang oleh bos mereka untuk menghantar surat-surat penting tidak kira di mana sahaja bos mereka berada termasuklah ketika bosnya mengadakan perbincangan di kondo-kondo mewah. 

Cuma satu yang perlu dipelajari oleh pembuat teh dan kopi iaitu MEMBUAT KARIPAP kerana selain daripada minum kopi dan teh bos-bos pada zaman sekarang suka makan karipap. Tentulah bos itu bos yang kedekut kerana hanya memberikan pembuat teh dan kopinya sekeping karipap setelah seharian lelah menyiapkan KERJA mereka.

Safwan Wheelchair belum apa-apa lagi sudah menunjukkan  bakat untuk menjadi artis tersohor. Kebolehannya membawa pelbagai watak turut dikagumi oleh ramai penggiat seni tanahair. Siapa yang tidak kagum akan kebolehan Safwan yang pada mulanya berwatak ganas tetapi secara tiba-tiba pula menjadi seorang yang 'touching' dengan keadaan berkerusi roda. Itu belum lagi mengambil kira kebolehan beliau melakonkan watak hampir-hampir mati tetapi dengan berkat doa Mat Sabu tak jadi mati.

Inilah kelebihan yang ada pada mereka berkat tunjuk ajar oleh senior mereka. Mat Sabu lagi hebat boleh main cucuk-cucuk skru dalam lutut. Itu belum lagi kehebatan senior yang boleh mati pada waktu pagi tetapi hidup semula  sebelah petangnya. 

Doa pecah perut tapi tak pecah-pecah? Anda boleh buat?Tak bolehkan?Hebat tak mereka?

Monday, January 2, 2012

Aspan Alias: Kalau itu yang terbaik..teruskan



Di kalangan sahabat blogger ramai yang sudah menulis akan kemasukan blogger Aspan dan Sakmongkol ke dalam DAP. Aspan di dalam artikelnya berkata biarpun diasak secara teruk oleh media arus perdana dan blogger pro-BN akibat daripada tindakannya itu berasa bersemangat kerana mendapat rangsangan daripada rakyat di luar sana.

Sebenarnya, tidak ada apa pun yang perlu diresahkan dengan tindakan saudara Aspan. Jika keputusan itu yang dirasakan terbaik oleh Aspan apalah perlunya kita keluh kesah dengan tindakan itu. Sesungguhnya, menyertai UMNO dan Barisan Nasional bukanlah suatu kemestian yang tidak boleh tidak harus dilaksanakan. Menyertai mana-mana parti politik adalah atas dasar 'kepercayaan' bahawa parti itulah yang terbaik buat mereka.

Aspan bukanlah suatu nama kecil dalam dunia blogging lantaran itu tentunya ada pihak yang ingin menyunting beliau apatah lagi dengan pengalaman beliau yang luas dalam dunia politik. Menyebut tentang perkataan menyunting pada kebiasaanya seperti di dalam majlis perkahwinan tentulah sedikit sebanyak mempunyai nilai yang seharusnya diutamakan. Biarpun sekadar adat tetapi adat itulah yang dijunjung manusia kerana Melayu sudah sepakat bahawa 'biar mati anak jangan mati adat'. Lagipun tidak ada Santa yang sekadar 'suka-suka' membawa guni untuk memberikan hadiah kepada rakyat teramai.

Politik adalah sesuatu yang berkisar kepada soal survival.Kehidupan harian adalah politik yang membutuhkan soal survival yang maksima dan optima. Tidak boleh tidak dan tanpa sebarang alasan, perut tidak boleh dibiarkan berkeroncong. Rakan-rakan di dalam PKR adalah cebisan daripada ahli-ahli UMNO yang penuh dengan rajuk dan nafsu marah. UMNO bukanlah suatu parti yang dapat menjamin kehidupan selesa seseorang individu secara khusus tetapi adalah sebuah parti pemerintah yang diamanahkan rakyat untuk mentadbir negara secara keseluruhan secara baik dan bijaksana dan alhamdulillah kita sudah mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain.

Berbalik kepada soal survival, jika saudara Aspan mendapati bahawa survival hidup beliau akan tidak menunjukkan titik akhir dengan menyertai DAP itu adalah tindakan yang lumrah kepada seseorang yang mencari nafas baru.Talian hayat. Jika ada peluang kepada saudara Aspan untuk menjadi calon di dalam pilihanraya kelak atas kerusi DAP itu juga dikatakan sebagai suatu kebaikan kepada saudara Aspan yang harus kita sokong kerana tidak ada manusia di atas mukabumi ini termasuklah DAP untuk membantu saudara Aspan secara total selain daripada Aspan sendiri yang mencari jalan bantu untuk survival beliau. Dan tindakan ini mungkin sahaja berkisar kepada soal survival. Tidak ada yang perlu disesal dan dikesalkan.

Manusia memang terlalu lambat untuk memerhati lantaran kerana hijab yang menebal. Bertahun lamanya bersama-sama UMNO baru kini Aspan 'terpandang' apa yang didakwa sebagai kebusukkan yang terkandung di dalam UMNO. Apakah dahulunya Aspan tidak terpandang atau terhidu segala kebusukan itu?Mungkin sahaja keadaannya sama seperti seseorang yang duduk di coffee house di hotel yang tidak pernah terbau segala kebusukan yang berada di dapur hotel tersebut kerana terlalu selesa dengan pendingin udara yang nyaman.

Apapun kita doakan yang terbaik buat saudara Aspan. Kecelaruan minda memang ada kalanya berlaku dan doakan sahaja ada sinar di hujung terowong buat saudara Aspan.Jika gelap hujungnya saudara Aspan ingatlah bahawa Kedai Rakyat 1 Malaysia ada menjual lilin buat saudara Aspan menerangkan kegelapan.

Kembalilah kepada laluan asal kerana laluan asal sudah anda tahu buruk baiknya dan ramai rakan-rakan yang dahulunya meninggalkan UMNO dan membuat pusingan U  hari ini berjaya mendapat tempat yang selesa. Kebusukan pada kita belum tentu pada yang lainnya.

Saudara Aspan lebih tahu dengan tindakannya dan mulut yang berkata belum tentu selari dengan apa yang sedang bersarang di dalam hati.

Kalau bodoh jangan ditunjuk

Apakah motif BERSIH 2.0 diadakan tempoh hari? Khabarnya untuk menuntut supaya diadakan pilihanraya yang bersih dan telus mengikut kehendak Pakatan Rakyat..

Benarkah tidak bersih pilihanraya di Malaysia? Gerakan mahasiswa juga memperlihatkan bahawa lahirnya rasa ketidak puashatian segelintir para mahasiswa. Mereka juga tergolong di dalam mereka yang mendakwa bahawa pilihanraya di Malaysia tidak telus.

Tetapi melihat kepada video di bawah, jelas membuktikan bahawa mereka sendiri tidak pasti dengan apa yang mereka perjuangkan.



Mereka berikrar akan menguburkan Barisan Nasional di dalam Pilihanraya Umum ke 13 nanti. Tetapi jika mereka sendiri mendakwa bahawa pilihanraya di dalam Malaysia tidak telus bagaimana mereka boleh menggunakan kaedah pilihanraya untuk menguburkan Barisan Nasional?

Jelas kepada kita bahawa golongan mahasiswa ini adalah golongan yang cuba mencari diri mereka sendiri. Keliru dengan apa yang mereka lakukan dan cubaan menjadi hero ini adalah berpunca daripada ketamakkan diri mereka yang mahu mencipta nama sebagai seorang politikus di masa hadapan.

Samalah seperti Nuar Ibrahim yang akhirnya berjaya mencipta nama di bidang politik dengan bermulakan platform sebagai mahasiswa untuk menjual nama di peringkat awal.

Cuma mahasiswa yang bodoh sahaja merasakan rakyat Malaysia tidak faham dengan keinginan dan kebusukkan yang sedang mereka lakukan.

Sunday, January 1, 2012

UPSI: Mana hilangnya Saipuddin Dollah?



Semakin hari semakin melampau tindakan segelintir mahasiswa yang menentang kerajaan. Kalau suatu ketika mereka berani menurunkan bendera Perdana Menteri beberapa hari yang lepas mereka terbalikkan pula gambar Perdana Menteri.

Bagaimana mereka boleh mendapat keberanian sebegitu rupa? Jika kita berkata bahawa keberanian itu timbul kerana adanya sokongan daripada politikus Pakatan ada benarnya tetapi bagaimana pula dengan 'new politic' yang diketengahkan Saipuddin seorang Timbalan Menteri?

Bukankah disebabkan 'kesudian' tidak berasas Saipuddin untuk 'melayan' permintaan golongan mahasiswa ini di PWTC tempoh hari telah menyebabkan mereka semakin kemaruk untuk merusuh.?

Sehingga ke hari ini kita masih menunggu Saipudin untuk menjelaskan kepada kita apa yang beliau maksudkan dengan 'new politic'. Adakah dengan memberi 'muka' kepada mahasiswa itu merupakan new politic?

Saipuddin sama ada sedar atau sengaja buat-buat tidak sedar bahawa new politic yang cuba diketengahkan boleh digunapakai jika golongan mahasiswa ini benar-benar tidak menyebelahi mana-mana parti politik tetapi apa yang berlaku jelas menunjukkan bahawa mereka yang terlibat ini adalah mereka yang cenderung kepada perjuangan Pakatan. Adakah new politic yang dibawa Saipuddin tidak terguna pakai kepada mahasiswa pro-aspirasi yang hadir beramai-ramai ke Kementerian Pengajian Tinggi tempoh hari?

Mengapa Saipuddin bertindak double standard? Mengapa kesudian Saipuddin melayan mahasiswa hanya tertumpu kepada mahasiswa yang menyerang kerajaan tetapi tidak kepada mahasiswa yang menyokong kerajaan? Adakah ini new politic?

Peliknya mengapa Saipuddin yang beria-ia sedangkan beliau hanyalah Timbalan Menteri. Apakah Menteri Pengajian Tinggi sendiri tidak bersetuju dengan tindakan Saipuddin? Apakah suara Saipuddin akan didengar oleh mesyuarat kabinet sedangkan Saipuddin sendiri tidak layak untuk memasuki mesyuarat tersebut?

Kalau Saipuddin berkata bahawa hanya beliau yang faham dengan pendekatan new politic itu maka seharusnya Saipuddin mengabdikan masanya bersama golongan mahasiswa itu..24 jam. Tetapi mana kelibat Saipuddin tatkala kerasukan gerombolan mahasiswa ini sudah semakin kritikal?

Kalau Saipuddin merasakan yang dirinya terlalu bagus dan cerdik sila selesaikan perkara ini dengan segera kerana anda sudah membuka pintu rumah kepada mereka. Jangan hanya kesilapan anda membuka pintu seluruh isi rumah akan menerima bencana.

Adakah new politic tidak menerapkan nilai-nilai kepertangunggungjawaban?