Monday, April 18, 2011

Jangan terlalu cepat menghukum


Segala persoalan tentang sama ada BN mampu untuk mengekalkan kuasa 2/3 di Sarawak sudahpun terjawab. Sekalung tahniah kepada jentera kerja BN dan mana-mana pihak yang bertanggungjawab untuk memenangkan BN.

Dan selepas daripada itu, seperti orang yang terlalu kemaruk berpolitik, peralihan kuasa Ketua Menteri Sarawak pula yang menjadi satu topik yang hangat dibincangkan dan ditunggu-tunggu.

Suka diingatkan kepada sesiapa yang terlupa bahawa Pakatan terlalu bijak bermain propaganda dan persepsi. Siapakah di antara kita yang secara peribadi mengenali Ketua Menteri Sarawak yang sedia ada? Mungkin di kalangan orang-orang politik mengenali Ketua Menteri Sarawak itu secara peribadi tetapi kepada rakyat di luar sana siapakah yang benar-benar mengenali hati budi Ketua Menteri itu?

Kita jangan lupa kepada pendedahan Syeikh Kickdafella bagaimana beliau diupah untuk memburukkan imej Pak Lah sehingga kita tanpa segan silu menghukum Pak Lah dengan termakan mainan persepsi tu dan sehingga kini masih ramai yang belum meminta maaf kepada Pak lah kerana rasa buruk sangka terhadap beliau. Dan apakah kita akan sekali lagi akan berhutang maaf kepada Taib Mahmud seperti kita berhutang maaf dengan Pak Lah hanya kerana kesilapan berburuk sangka kepada mereka.

Jika benarlah Taib Mahmud seperti yang digambarkan pembangkang, agak menghairankan bagaimana beliau masih berjaya mengekalkan kerusi yang ditandinginya? Apakah rakyat Sarawak buta kerana masih mengundi Taib Mahmud jika benarlah busuknya Taib Mahmud seperti yang digambarkan pembangkang? Justeru, orang-orang Semenanjung yang hanya mendengar khabar-khabar angin tidak termakan dengan mainan persepsi yang selalu dicanangkan pembangkang.

Sudah jelas bahawa Sarawak cukup maju di bawah pentadbiran Taib Mahmud, justeru itu mencari pengganti Taib Mahmud bukanlah perkara enteng yang boleh dibuat dengan hanya menurut rasa dan selera. Banyak perkara yang perlu difikirkan terlebih dahulu dan perkara itu seharusnya diserahkan kepada rundingan antara Najib dan Taib Mahmud seperti mana yang mereka persetujui semasa tempoh berkempen tempoh hari.

Jangan kerana hanya termakan mainan persepsi pembangkang, kita terlalu emosi untuk menghukum kerana 'tak kenal maka tak cinta' dan sekalipun 'cinta itu buta' kita serahkan saja pada 'jauhari' kerana hanya 'jauhari mengenal manikam'.

No comments:

Post a Comment