Showing posts with label apa pun tak boleh. Show all posts
Showing posts with label apa pun tak boleh. Show all posts

Wednesday, May 23, 2012

Apalah gunanya berkata benar


KATA orang kalau mahu memberi nasihat berilah kepada mereka yang sudi mendengar dan sudi mengambil iktibar kepada nasihat yang diberikan. Tidaklah dapat kita nafikan bahawa tindakan memberi nasihat adalah suatu tindakan yang terpuji, cuma persoalannya ialah sejauh mana kesudian orang yang mendengar nasihat itu menerima nasihat kita. Adakah ianya ibarat mencurah air di daun keladi atau sekadar masuk telinga kanan keluar telinga kiri?

Menyentuh kepada soal debat di antara Ketua Pemuda UMNO dan beberapa pimpinan Pakatan yang telah diadakan baru-baru ini. Benar dan kita mengucapkan terima kasih dan syabas kepada KJ kerana berani mengambil tanggungjawab untuk berhujah. Kita sedar bahawa tindakan KJ itu pastinya berasaskan kepada niat untuk memberikan penerangan kepada rakyat terhadap segala isu yang memutar ligat di bibir pimpinan Pakatan.

Adakah berbaloi usaha yang KJ lakukan itu? Debat di antara KJ dan Ambiga yang diadakan menjurus kepada soal penganjuran Bersih 3.0 adakah berjaya menghalang daripada tercetusnya perhimpunan yang penuh kegilaan itu? Sama ada kita sedar ataupun tidak, debat itu sekadar memberikan peluang dan platform kepada penganjur BERSIH untuk mempromosi perhimpunan yang penuh celaru itu.

Bagai orang mengantuk disorongkan bantal sekali lagi kita menghidangkan platform yang cukup luas kepada mereka apabila sekali lagi diadakan debat, kali ini di antara KJ dan Rafizi. Kalau ditanya siapa pemenang di dalam debat itu, jawapannya cukup mudah. Tanyalah kepada penyokong KJ dan seluruh orang-orang UMNO tentulah kemenangan berpihak kepada KJ tetapi jika sebaliknya tentulah penyokong-penyokong Rafizi berkata bahawa Rafizi berjaya meratah KJ dengan penuh lahap. Jadi adakah berbaloi debat itu diadakan?

Adakah kita cukup yakin bahawa debat itu dapat menyumbang kepada penjurusan minda pengundi atas pagar untuk memilih BN di dalam PRU yang akan datang?Atau adakah kita tidak sedar bahawa debat itu memberikan ruang dan peluang kepada Pakatan mempromosi idea minda celaru mereka untuk mencelarukan lagi minda rakyat?

Seharusnya kita sudah cukup masak dengan permainan licik daripada Pakatan yang tidak akan berhenti daripada memperlahankan momentum mereka daripada terus kelihatan di mata rakyat. Soal menang atau kalah di dalam debat itu bukanlah perkara pokok dan asas, yang pentingnya kehadiran dan segala perancangan mereka untuk sentiasa kelihatan dekat di hati rakyat harus digunakan sebaiknya di atas pentas debat itu. Adakah kita akan sentiasa terlupa bagaimana hebatnya mereka bermain dengan kata dan sering pula mereka menerobos minda rakyat dengan segala janji yang didakwa datang dari bulang bintang?

Bukti nyata di dalam debat itu, ialah bilamana Perdana Menteri dicabar supaya berdebat dengan Anugerah Tuhan yang sentiasa dahagakan ruang untuk mencari publisiti. Tentunya rakyat sudah termakan kepada momokan idea bahawa Perdana Menteri adalah seorang yang pengecut jika tidak menyahut kepada cabaran itu. Persetankan kepada cabaran itu sebagai manusia yang bergelar Anugerah Tuhan itu boleh menidakkan untuk bersumpah laknat biarpun dicabar berkali-kali.

Apa bezanya dengan muzakarah UMNO-PAS yang dicadangkan untuk diadakan. Belum apa-apa lagi syarat sudah dikenakan kepada UMNO supaya memenuhi syarat gila mereka. Adakah anda fikir muzakarah itu akan membawa kepada kebaikan kepada umat Melayu di Malaysia? Barang harus diingat bahawa UMNO adalah parti pemerintah dan cubalah terangkan dengan jelas di mana perlunya kita mendengar dan cuba mengisi setiap permohonan mereka? Buat baik berpada-pada...

Tidak perlulah kita membuang masa untuk berdepan dengan orang yang penuh dengan cita-cita dan bijak mengambil kesempatan. Biarpun perbincangan dan muzakarah adalah sebaik-baik tempat untuk mencari titik persamaan tetapi rasanya bukan dengan orang seperti ini kerana kita sudah sedia maklum ianya pasti akan berakhir dengan tikaman lidah menyalahkan kita.

Video yang jelas dengan aksi pun mereka mengatakan sebagai besi yang tidak berupaya menggambarkan apa-apa inikan pula bait kata daripada lidah yang tidak bertulang.

Teringat pula kepada pantun yang sering digunakan oleh ramai pendebat sewaktu zaman sekolah.


Dengar cakap enggang
Makan buah belokok
Dengar cakap pembangkang
Terjun masuk lobok.



Kehebatan mereka adalah bercakap..ambillah tindakan supaya mereka berhenti bercakap...