
Pemuda UMNO kenapa harus menari mengikut gendang yang sedang dipalu oleh BERSIH?
Sebaiknya, Pemuda menyerahkan tanggungjawab untuk mengawal keadaan perhimpunan BERSIH kepada pihak polis.
Jika Pemuda merasakan bahawa tindakan BERSIH ini akan membawa kepada pelbagai implikasi yang buruk tidakkah Pemuda merasakan bahawa kehadiran mereka akan menjadi 'nasi tambah' kepada keadaan yang sememangnya sudah buruk itu?
Sememangnya rakyat Malaysia sudah bijak di dalam menilai dan rasanya rakyat Malaysia pasti tidak bersetuju dengan tindakan BERSIH ini tetapi apa pula tanggapan rakyat Malaysia kepada Pemuda jika kelibat ahli-ahli mereka turut kelihatan di dalam perhimpunan itu?
Benar, Pemuda ingin menzahirkan pendirian mereka sebagai anti keganasan tetapi bayangkan apa akan berlaku sekiranya terjadi pertembungan di antara ahli Pemuda dan BERSIH? Bukankah ini akan menambah burukkan lagi keadaan?
Kita tidak mahu rakyat di luar sana mengambil pendekatan dan kefahaman yang mudah bahawa Pemuda turut berperangai seperti BERSIH kerana turut berarak di jalanraya.
Kita jangan lupa kepada pepatah 'Seperti ketam mengajar anak berjalan lurus'.
Apapun tahniah kepada semangat ahli-ahli Pemuda UMNO cuma biarlah kewarasan mendahului emosi.