Wednesday, December 5, 2012

Tak perlu parabola untuk membuat panggilan pertanyaan!!!



Cakera parabola untuk akses internet? Akses gambar ni bolehlah...:)

KALAU Pakatan Rakyat yang berkata kerajaan pusat menganaktirikan rakyat Sabah dan Sarawak tentulah kita faham apakah tujuannya. Tetapi apabila orang besar Sabah di dalam kerajaan negeri Sabah sendiri yang mempersoalkan kebersamaan layanan kerajaan pusat terhadap rakyat di Semenanjung dan Sabah Sarawak tentulah ianya merupakan BOLA TANGGUNG yang ditunggu tunggu oleh Pakatan Rakyat.

Biar apapun permasalahan yang dihadapi oleh pemimpin kerajaan daripada negeri di bawah bayu itu sebagai pemimpin daripada parti yang sama rasanya beliau mempunyai banyak akses untuk bertanya secara terus kepada pemimpin di kerajaan pusat berhubung kekeliruan yang timbul di benaknya.

Yang menghairankan mengapa beliau mengambil pendekatan untuk menyuarakan ketidakpuashatian beliau di  akhbar yang pastinya mengundang campurtangan pimpinan Pakatan Rakyat untuk memburuk-burukkan kerajaan. Adakah udang di sebalik batu?

Struktur mukabumi Sabah dan Sarawak telah menyebabkan rata-rata rumah di sana mempunyai cakera parabola yang membolehkan rakyat di sana menikmati siaran televisyen sebagaimana rakyat di Semenanjung.  

Semasa Jebat berkunjung ke Sibu baru-baru ini, rumah sahabat Jebat mempunyai kemudahan cakera parabola untuk mendapatkan siaran televisyen kerana menurut sahabat Jebat itu cakera parabola membolehkan mereka sekeluarga mendapatkan siaran televisyen yang berkualiti. Siaran televisyen? Maksudnya cakera parabola di rumah itu dan rata-rata rumah di sana adalah untuk mendapatkan siaran televisyen dan apa pula kaitan cakera parabola dengan akses internet seperti yang diperkatakan oleh orang besar di dalam kerajaan negeri Sabah itu?

Adakah parabola boleh digunakan untuk capaian akses internet? Mungkin boleh dan mungkin tidak boleh. Kita tinggalkan persoalan itu kepada mereka yang arif. Cuma yang ingin Jebat persoalkan mengapakan orang besar Sabah itu tidak menggunakan akses sebagai pemimpin daripada parti yang sama untuk bertanya secara langsung kepada rakan sejawatnya daripada kerajaan pusat? 

Hanya dengan membuat panggilan telefon rasanya kekeliruan ini akan dapat diatasi. Khabarnya, Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah menjelaskan kekeliruan ini kepada orang besar Sabah itu tetapi beliau tidak berpuashati dengan penjelasan yang telah diberikan itu.

Jebat tidak mahu menyentuh dari segi teknikalnya kerana jika tersalah penerangan pastinya akan menjadikan ianya lebih keliru, justeru Jebat hanya ingin bertanya kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah, adakah beliau tidak mempunyai jaringan akses untuk menghubungi Menteri atau Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan untuk mendapatkan penjelasan?

Takkanlah benda semudah ini sebagai Timbalan Ketua Menteri tidak dapat selesaikan..Aduhai...Apa nak jadi...

Monday, November 19, 2012

PAS: Lebai Malang Yang Lawak


ANDA hairan bila PAS memurtadkan UMNO? Pada Jebat perkara yang dibangkitkan oleh PAS ini langsung tidak mendatangkan apa-apa kesan kepada Jebat. Sebabnya mudah, Allah maha Pengasih dan Penyayang. Mustahil Allah akan turunkan bencana kepada hambanya yang teraniaya.

Jika PAS merasakan bahawa mereka adalah makhluk ciptaan Tuhan maka sewajarnya PAS sedar bahawa UMNO juga makhluk ciptaan Tuhan yang sama. Atau adakah PAS merasakan bahawa Tuhan mereka berbeza dengan Tuhan UMNO? Jangan jadi syirik pula jika menyekutukan Tuhan. Ingat perkara tersebut wahai gerombolan PAS.

Dahulu lagi Nik Ajis sudah mengkafirkan UMNO. Tapi alhamdullillah, kita orang-orang UMNO masih ingat lagi dan tidak pernah lupa serta tidak dikelukan lidah untuk mengucap kalimah  syahadah dan berzikir memuji kebesaran yang Esa. Allah tidak pernah membuatkan kita lupa padanya. Yang terlupa hanyalah gerombolan PAS bahawa sebenarnya kita semua adalah bersaudara. 

Anda lupa bagaimana PAS mendoakan pecah perut kepada Perdana Menteri. Alhamdullillah, doa itu tidak dimakbulkan dan Perdana Menteri masih dapat menjalankan tanggungjawabnya membantu rakyat. PAS mungkin buat-buat tidak nampak perkara itu.

PAS tidak pula mendoakan agar orang-orang Islam di Malaysia yang sudah benar-benar murtad untuk segera kembali kepada Islam. Apa tindakan PAS bila ada umat Islam yang cuba dimurtadkan di sebuah gereja di Petaling Jaya, negeri di bawah pentadbiran sekutu kuat PAS, PKR? Sudahnya, Hasan Ali dipecat kerana ketegasan beliau mempertahankan dasar-dasar Islam. 

Apa tindakan PAS bila sekutu kuat mereka di dalam DAP berkata bahawa usaha untuk melaksanakan hudud boleh dilaksanakan setelah melangkah mayat pimpinan kanan DAP? PAS jadi kucing siam yang tertunduk malu. Ibarat anak dara pingitan yang terkedu malu menunggu untuk disunting.

Apa jadi pada PAS bila ada orang kanannya didakwa ditangkap khalwat di Pahang bersama isteri orang? Sunyi dan sepi dan sehingga kini wajah yang didakwa itu menyepi dari pentas politik.

Kasihan pada PAS, bertahun berjuang untuk kepentingan politik tetapi akhirnya sekutu dari PKR yang diangkat sebagai bakal Perdana Menteri. Tambah malang, yang mahu diangkat itu adalah orang yang pernah memburukkan PAS ke tahap yang meloyakan.

Gerombolan PAS yang ada hari ini ramai yang tidak ada berjuang di dalam PAS semasa bakal Perdana Menteri itu mengganyang PAS sehingga lumat semasa beliau berkuasa di dalam UMNO.

Gerombolan PAS suatu ketika melanyak DAP bagaikan tiada ruang langsung di antara Islam dan bukan Islam. Tetpai hari ini PAS tunduk pada kemahuan dan gertakan suara DAP.

Yang malangnya bukan UMNO, PKR atau DAP tetapi yang jelas yang menjadi LEBAI MALANG ialah PAS..

Merasakan diri hebat tetapi sebenarnya sangat lawak..

Thursday, November 15, 2012

Aspan Alias: Awak pun tua juga



URA-URA yang mengatakan sahabat blogger Aspan Alias akan bertanding di dalam PRU ke 13 nanti tampaknya semakin jelas dan bersuluh. Aspan semakin ligat menghentam pimpinan pimpinan UMNO yang ramai di antara mereka adalah sahabat Aspan semasa berada di dalam UMNO.

Tetapi dek kerana jodoh tak panjang atau mungkin ada rajuk dan terguris hati Aspan membuat keputusan untuk keluar dari UMNO. Bukanlah satu keputusan yang memeranjatkan kerana ramai di antara kita orang-orang UMNO yang keluar dari UMNO kerana rajuk dan keluh kesah kerana tiada tempat dan platform di dalam UMNO. UMNO bukan ketandusan pemimpin seperti dakwaan sesetangah pihak termasuklah Aspan. Dek kerana persaingan merebut jawatan dan tempat di dalam UMNO itulah mereka yang kecewa dan rajuk akhirnya membuat keputusan meninggalkan UMNO. Mencari dahan baru yang setidak-tidaknya masih ada harapan untuk membawa mereka terbang ke langit biru mengejar impian untuk berkuasa dan berupaya dari segi ekonomi. Benarkah semasa hayat mereka berada di dalam UMNO mereka berjuang? Aspan tentunya boleh menjawab pertanyaan ini. 

Kalau benar pejuang tentulah tidak akan tersipu malu untuk berterus terang apa yang telah sama ada UMNO atau sahabat di dalam UMNO telah membantu Aspan. Sekali sekala alangkah manisnya jika Aspan memberitahu pada umum apa yang telah UMNO bantu beliau. Ramai di kalangan sahabat di luar sana yang ada bercerita perihal UMNO membantu Aspan. Mudah-mudahan akan terbuka hati Aspan untuk mengucapkan terima kasih kepada UMNO.

11 November, di dalam artikelnya Aspan menggunakan ayat yang kurang manis kepada Rais Yatim. Jebat tidak mahu mengolah ayat yang dilemparkan oleh Aspan kepada Rais kerana pada Jebat orang setua Aspan semoleknya tahu untuk menggunakan ayat yang lebih bersopan kepada Rais jika sekalipun tidak cinta. Kalau tidak tentu sahaja loghat Kelantan sesuai dilemparkan kepada Aspan "SIO SIO..TUO SAJO". Jika Aspan merasakan Rais sudah terlalu tua untuk dikekalkan sebagai Menteri atau calon di dalam PRU 13, Aspan juga perlu sedar bahawa beliau bukanlah 'terlalu muda' untuk menggelarkan Rais seperti itu. Kalau Aspan berusia sekitar 20an mungkinlah boleh kita terima jika dia menggelarkan seseorang itu tua. Kalau sesiapa yang ada modal lebih rasanya bolehlah menghadiahkan cermin kepada Aspan pada harijadinya kelak. Cermin untuk apa? Sendiri mahu ingatlah.

Tapi yang mudahnya, kehebatan Rais di Jelebu sudah lama dihidu oleh gerombolan Pakatan di Negeri Sembilan. Justeru. kehebatan itu harus disentap dahulu daripada minda orang-orang Negeri Sembilan supaya di dalam PRU ke 13 nanti akan lebih memudahkan Pakatan menyelinap masuk ke Negeri Sembilan. Ini teori murah dan berulang kali digunakan. Takkanlah setua tua Aspan tiada modal baru yang hendak digunakan. Takkanlah di dalam parti baru Aspan tidak berjaya mengolah suatu pendekatan baru yang boleh menampakkan beliau lebih cerdik semasa berada di dalam UMNO.

Rais terlalu hebat di Jelebu dan keadaan ini pastilah menggusarkan gerombolan Pakatan kerana ramai di antara kita sedar dan tahu bahawa gerombolan Pakatan beria menjadikan Negeri Sembilan sebagai negeri di bawah pemerintahan mereka di dalam PRU ke 13 nanti. Suka tak suka, kehebatan dan nama besar Rais di Jelebu harus dirobekkan dan tidaklah kita hairan jika Aspan menghiris hiris nama Rais kerana sebagai hero yang baru hendak dilonjakkan oleh gerombolan Pakatan di Negeri Sembilan kita sedar benar mengapa Aspan menulis sedemikan rupa.

Tak mengapalah itu pandangan peribadi Aspan. Sama juga seperti Jebat yang melontarkan pandangan peribadi terhadap penulisan Aspan. 

Mudah-mudahan Aspan akan dicalonkan nanti dan kalau Aspan rasa yang dirinya masih muda berbanding Rais apa kata Aspan bertanding di kerusi Parlimen Jelebu nanti. Barulah masuk gelanggang namanya. 

Sama sama tua dan kita nak lihat siapa yang lebih popular nanti. Amacam Aspan? Ada bran?


Friday, October 19, 2012

JIngga 13: Malu bertanya sesat jalan



SEBENTAR tadi kira-kira 8 orang yang menggelarkan diri mereka sebagai Jingga 13 telah hadir ke Bangunan Sultan Abdul Samad di hadapan Dataran Merdeka di mana di situlah terletaknya pejabat Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato Seri Utama Dr Rais Yatim.

Agenda utama kehadiran Jingga 13 ini adalah untuk menyerahkan memorandum kepada Rais bagi menjelaskan daripada manakah sumber kemewahan Robengah (bekas pembantu rumah Rais) di Banjanegara Indonesia yang didakwa mampu hidup selesa dan mempunyai rumah yang dianggarkan bernilai RM100 ribu.

Isu yang cuba mereka ketengahkan ini sebenarnya bukanlah isu baru kerana perihal yang sama telahpun diutarakan oleh blogger tersohor Rocky Bru dan Bigdog.

Pengakhiran kepada isu ini ialah apabila Robengah telah tampil pada 7 Januari 2011 dengan menandatangani sepucuk surat penafian yang antara lainnya berbunyi '...Mulai keberangkatan selama di Malaysia sampai pulang di Indonesia, tidak pernah terjadi masalah apapun pada diri saya..'. Kenyataan Robengah ini adalah penjelasan kepada  dakwaan bahawa beliau telah diperkosa oleh menteri berkenaan seperti yang dilaporkan oleh beberapa blog suatu ketika dahulu.

Kepada Jingga 13 memorandum anda mendesak supaya Rais menjelaskan daripada manakah Robengah mendapat wang sebanyak itu untuk mendirikan rumah pada andaian anda bernilai RM100 ribu. Jingga 13 jika itu persoalannya mengapa anda tidak terbang ke Indonesia dan bertanya sendiri kepada Robengah? Jika anda yakin dengan dakwaan anda itu mengapa anda tidak bertanya secara berdepan mata bersama Robengah dan mengapakah persoalan yang seharusnya anda ajukan kepada Robengah diajukan pula kepada Rais? Adakah hanya kerana Robengah pernah bekerja di rumah Rais atau adakah anda merasakan inilah peluang kepada anda untuk meruntuhkan kredibiliti Rais sebagai Menteri kanan sekaligus memburukkan BN?

Desakan Jingga 13 amat jelas berbau politik kerana jika mereka yakin kepada dakwaan mereka itu, apalah perlu ditanya kepada Rais daripada manakah sumber kewangan yang diperolehi Robengah. Adakah sukar untuk mereka mendapatkan penjelasan secara bersemuka dengan Robengah lantaran terpaksa ditanya pula kepada Rais?

Jika Jingga 13 mendabik dada menunjukkan gambar rumah milik Robengah yang didakwa RM100 ribu itu rasanya tiada halangan untuk mereka menjejaki Robengah untuk mendapatkan penjelasan. Itupun jika ikhlas.

Beban pembuktian kepada perkara ini sebenarnya terletak kepada Jingga 13 kerana mereka yang mendakwa dan sekiranya cukup bukti sila dedahkan kepada umum dan sila buat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Jika hendak didesak sila desak Robengah dan bukan mendesak Rais kerana ini hanya akan menampakkan bahawa sesungguhnya mereka yang TERDESAK UNTUK MENGHADAPI PRU KE 13..

Isu ini telahpun selesai beberapa tahun yang lalu dan Robengah sendiri telah membuat pengakuan bahawa tidak ada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku kepada beliau semasa berkhidmat di rumah Rais. 

Jingga 13 jika anda ada masalah dengan pengakuan Robengah itu. Anda mendakwa dan andalah yang seharusnya membuktikan. Jika tidak anda akan malu sendiri.